ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

“IS Intip Gerak-Geri Saya Keluar Berjoging” – Ayob Khan

PETALING JAYA – Sentiasa berwaspada terhadap persekitaran menjadi kebiasaan buat bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, khususnya ketika beliau mengetuai Bahagian Antikeganasan Bukit Aman.

Ayob Khan berkata beliau pernah menerima maklumat bahawa pergerakannya, termasuk ketika berjoging di Taman Tasik Perdana, dipantau oleh individu yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Beliau berkata penyelaras utama kumpulan itu di Malaysia ketika berkenaan menggunakan media sosial untuk merekrut rakyat tempatan bagi menjalankan kegiatan mengintip dan memantau pergerakan anggota keselamatan.

“Mereka memantau pergerakan beberapa pegawai, termasuk Ketua Polis Negara ketika itu.

“Mereka tahu saya berjoging di Taman Tasik Perdana dan KPN ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar, menyertai konvoi motosikal pada setiap Sabtu.

“Saya mendapat maklumat ini kerana kami juga berada dalam kumpulan itu untuk memantau mereka,” katanya dalam wawancara dengan Free Malaysia Today selepas bersara baru-baru ini.

Ayob Khan, yang mengetuai Bahagian Antikeganasan Bukit Aman dari 2016 hingga 2020, berkata tugas membanteras ancaman keganasan memerlukan tahap keselamatan yang tinggi, termasuk menggunakan kenderaan kalis peluru, menukar laluan perjalanan serta sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling.

Beliau berkata ketika berada di tempat awam termasuk restoran, beliau juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan memilih kedudukan yang membolehkannya memantau pergerakan di sekeliling.

Menurutnya, amalan keselamatan sedemikian antara lain berasaskan pengalaman serta teknik yang dibangunkan pasukan keselamatan ketika menghadapi ancaman Parti Komunis Malaya sejak 1950-an hingga 1980-an.

Dalam pada itu, Ayob Khan berpandangan Malaysia masih memerlukan peruntukan undang-undang khusus bagi menangani ancaman keselamatan yang serius, termasuk keganasan dan jenayah terancang.

Beliau berkata Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA penting bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap kes yang kompleks dan membabitkan jumlah suspek yang ramai.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pendiriannya itu tidak bermaksud beliau menyokong pengenalan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang telah dimansuhkan pada 2012.

Sebaliknya, beliau berkata peruntukan seperti SOSMA menyediakan tempoh tertentu untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan sebelum seseorang suspek didakwa atau dibebaskan.

Ayob Khan berkata prosedur reman biasa di bawah undang-undang jenayah kadangkala tidak mencukupi untuk mengendalikan operasi keselamatan berskala besar.

“Ketika saya dalam Bahagian Antikeganasan, bukan seorang sahaja yang saya tangkap. Dalam tempoh 24 jam, saya pernah menangkap 40 suspek,” katanya.

Beliau berkata siasatan terhadap operasi sedemikian memerlukan masa untuk meneliti bahan rampasan, termasuk telefon bimbit dan komputer riba, selain mendapatkan serta menganalisis maklumat daripada puluhan suspek.

Pada masa sama, Ayob Khan berkata undang-undang keselamatan yang berkesan penting dalam memastikan keamanan dan keharmonian negara, khususnya dalam masyarakat berbilang kaum.

Beliau berkata pendekatan keselamatan yang dilaksanakan perlu mengambil kira struktur serta realiti masyarakat Malaysia dan tidak semestinya boleh disamakan dengan model yang digunakan di negara lain.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak, termasuk ahli politik, supaya melihat isu keselamatan negara dari perspektif jangka panjang dan tidak menjadikannya sebagai pertimbangan untuk kepentingan politik semata-mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *