ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Selangor Umum Cuti Peristiwa 1 September Sempena Juara SUKMA 2026

SHAH ALAM – Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan cuti peristiwa khas pada 1 September ini sempena kejayaan kontinjen Selangor muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.

Pengumuman itu dibuat pada Majlis Penutupan SUKMA XXII Selangor di Aneka Walk, Seksyen 14, di sini, malam tadi dan disambut tepukan gemuruh orang ramai yang hadir.

“Berdasarkan prestasi luar biasa kontinjen Selangor dalam SUKMA 2026 dan sebagai tanda penghargaan kepada setiap atlet serta 10,000 sukarelawan yang membantu sepanjang temasya ini, saya dengan berbesar hati mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor mengisytiharkan cuti peristiwa khas sempena kejayaan SUKMA 2026 pada 1 September 2026, iaitu Selasa depan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri dilaporkan akan mempertimbangkan pemberian cuti peristiwa sekiranya kontinjen Selangor berjaya muncul juara keseluruhan temasya berkenaan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi sebelum ini dilaporkan berkata keputusan mengenainya akan dimuktamadkan selepas kutipan pingat keseluruhan diketahui.

Selangor muncul juara keseluruhan SUKMA XXII Selangor 2026 selepas mengumpul 245 pingat, terdiri daripada 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa.

Kejayaan itu merupakan kejuaraan kali ke-10 Selangor, sekali gus menjadikannya negeri paling banyak menjuarai temasya sukan berkenaan sejak penganjuran pertama pada 1986.

Lebih manis, kejayaan sebagai tuan rumah kali ini turut mengatasi pencapaian Selangor ketika kali pertama menganjurkan SUKMA 28 tahun lalu, selain melepasi sasaran awal 80 pingat emas.

Sebelum ini, Selangor pernah muncul juara pada 1988, diikuti enam edisi berturut-turut dari 1996 hingga 2006, serta pada 2013 dan 2016.

Wilayah Persekutuan menduduki tempat kedua dengan kutipan 51 emas, 54 perak dan 52 gangsa, manakala Terengganu melengkapkan kedudukan tiga teratas selepas meraih 43 emas, 44 perak dan 36 gangsa.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyempurnakan majlis penutupan temasya itu. Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *