Tongkat Hadi Awang Dibida RM16,500 Untuk Tabung PRN Melaka
MELAKA – Tongkat milik Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berjaya dibida pada harga RM16,500 pada Majlis Makan Malam Amal PAS Negeri Melaka yang diadakan di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini malam tadi.
Tongkat yang diperbuat daripada kayu kemuning dan tertera parap “TGHH” itu pada mulanya dibuka untuk bidaan pada harga RM2,500 sebelum nilainya meningkat secara berperingkat sehingga mencecah RM16,500.
Lelongan berkenaan merupakan antara usaha untuk mengumpul dana bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Tongkat itu kemudiannya diserahkan sendiri oleh Abdul Hadi kepada pembida yang berjaya, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.
Muhamad Muqharabbin dikenali sebagai bekas pendaki Gunung Everest termuda dari Asia Tenggara dan pernah memegang beberapa jawatan dalam UMNO sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai dan Exco Pemuda UMNO Malaysia sebelum menyertai Bersatu serta dilantik sebagai Ketua Bersatu Bahagian Lembah Pantai.
Muhamad Muqharabbin kemudiannya melepaskan jawatan itu dan menyertai PAS sebagai ahli biasa.
Kira-kira dua bulan lalu, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan Lembah Pantai.
