ADUN Pitas Sekeluarga Peluk Islam, Mahu Tumpu Kepada Ibadah
PITAS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Ruddy Awah berkata beliau mahu memberi tumpuan kepada ibadah sebagai bekalan akhirat selepas memeluk Islam bersama isteri dan anak bongsunya semalam.
Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah itu berkata keputusan memilih Islam bukan didorong oleh keinginan untuk mengejar pangkat, kekayaan atau kepentingan duniawi, sebaliknya hasil hidayah yang dinantikan beliau dan isteri sejak sekian lama.
“Apabila kita memilih untuk memeluk agama Islam, pengalaman hidup itulah yang saya kejar. Apa sahaja yang ada di dunia ini hanya bersifat sementara. Yang kekal adalah amal ibadat kita.
“Setelah kini saya berada dalam agama Islam, saya mahu beramal ibadat untuk bekalan akhirat nanti. Kehidupan dunia sudah cukup bagi saya,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Salimpodon Laut, Pitas, di sini.
Ruddy, 58, berkata beliau dan isterinya yang hampir 40 tahun mendirikan rumah tangga mula mencari pegangan hidup dan hala tuju agama sejak kira-kira 10 tahun lalu.
“Ini adalah hari yang bersejarah buat saya, isteri dan anak saya. Kami selamat mengucap dua kalimah syahadah sebentar tadi yang dipimpin Mufti Kerajaan Negeri Sabah serta disaksikan pelbagai pihak dan tetamu yang hadir.
“Bagi saya, ini semua adalah hidayah yang sampai. Apabila hidayah itu tiba, perasaan saya amat gembira sekali sewaktu mengucap dua kalimah syahadah,” katanya.
Mengenai perancangannya selepas memeluk Islam, Ruddy berkata beliau akan memberi tumpuan untuk mempelajari dan mendalami ajaran agama itu dengan bimbingan guru, imam dan ustaz.
“Saya mahu belajar dan mendalami agama ini daripada guru-guru, imam dan ustaz yang ada. Saya berterima kasih kepada ustaz-ustaz di daerah kita yang menawarkan diri untuk mengajar selepas ini,” katanya.
Beliau berkata turut merancang untuk menunaikan umrah bersama isteri dan ahli keluarga pada tahun depan.
Sementara itu, isterinya Datin Seri Asiah Udin berkata penghijrahan mereka dilakukan dengan tulus dan tanpa sebarang paksaan.
Menurutnya, suaminya sudah lama menyimpan hasrat untuk memeluk Islam, namun memilih untuk menunggu sehingga hatinya benar-benar terbuka untuk menerima agama itu.
Asiah berkata minatnya terhadap Islam bermula sejak di sekolah rendah ketika tinggal bersama kakaknya yang beragama Islam di Pitas.
Walaupun belum memeluk Islam pada ketika itu, katanya, beliau tertarik dengan cara hidup dan amalan keluarga berkenaan.
Ruddy bersama Asiah dan anak bongsu mereka memeluk Islam selepas melafazkan dua kalimah syahadah di kediaman mereka di Kampung Salimpodon Laut.
Lafaz syahadah itu dibimbing Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dan disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman.
