Trump Lancar Perang Ekonomi Terbesar, Ugut Negara Yang Membantu Iran
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu mengumumkan pelancaran kempen tekanan ekonomi berskala besar terhadap Iran, sambil memberi amaran bahawa mana-mana negara yang membantu atau menjalankan urusan perniagaan dengan republik Islam itu akan berdepan tindakan ekonomi yang berat.
Trump berkata langkah berkenaan merupakan antara usaha paling agresif yang pernah dilaksanakan Washington bagi mengasingkan ekonomi Iran daripada sistem perdagangan dan kewangan antarabangsa.
“Hari ini saya mengumumkan operasi ekonomi paling memusnahkan yang pernah diambil terhadap mana-mana negara. Ini akan menjadi peperangan ekonomi dan pengasingan pada skala yang belum pernah berlaku sebelum ini,” katanya menerusi hantaran di platform Truth Social.
Beliau turut memberi amaran bahawa negara yang membenarkan institusi kewangan, syarikat, lapangan terbang atau agensi kerajaan mereka menjadi saluran bantuan kepada Iran akan menerima akibat ekonomi yang “amat dahsyat”.
Bagaimanapun, Trump tidak memperincikan bentuk tindakan atau sekatan yang bakal dikenakan dan tidak menamakan mana-mana negara yang mungkin menjadi sasaran.
Pengumuman itu dibuat ketika konflik melibatkan AS dan Iran menghampiri bulan keenam tanpa petunjuk jelas mengenai penyelesaian diplomatik atau ketenteraan dalam masa terdekat.
Ia juga menyusul kenyataan Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent minggu lalu bahawa Washington merancang untuk meningkatkan usaha mengasingkan Iran daripada sistem ekonomi global.
Sementara itu, walaupun serangan peluru berpandu antara kedua-dua pihak dilaporkan semakin berkurangan sejak kebelakangan ini, Iran masih meneruskan sekatan terhadap laluan perkapalan di Selat Hormuz selepas usaha memuktamadkan kerangka perjanjian antara Washington dan Tehran bagi membuka semula koridor strategik itu gagal mencapai persetujuan.
Kedua-dua pihak sebelum ini memaklumkan bahawa saluran komunikasi masih wujud dan mesej terus dipertukarkan.
Namun, Trump pada Selasa menegaskan rundingan antara AS dan Iran tidak lagi diteruskan.
Presiden AS itu juga memuat naik hantaran di media sosial yang membayangkan Selat Hormuz berpotensi menjadi “wilayah baharu AS”, sekali gus menambah ketegangan terhadap hubungan antara Washington dan Tehran.
Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika Trump turut berdepan tekanan politik domestik menjelang pilihan raya November, dengan konflik dan dasar luar AS terus menjadi antara isu utama perhatian rakyat negara itu.
