Legenda Bola Sepak Brazil, Roberto Carlos Didakwa Memeluk Islam
SAO PAULO – Legenda bola sepak Brazil, Roberto Carlos dikhabarkan memeluk Islam selepas didakwa mengucapkan dua kalimah syahadah kira-kira empat minggu lepas.
Khabar berkenaan didedahkan Ahli Parlimen Turkiye Ali Şahin menerusi hantaran di media sosial semalam.
Menurut Şahin, maklumat itu diperolehnya selepas bertemu Sheikh Jihad Hammadeh, tokoh komuniti Islam di Brazil ketika mengadakan pertemuan di Sao Paulo.
Menerusi perkongsian itu, Sheikh Jihad dilaporkan memaklumkan bahawa bekas bintang Real Madrid tersebut sudah lama berkomunikasi dengannya sebelum mengambil keputusan untuk memeluk Islam.
Roberto Carlos, 53, didakwa mengunjungi Sheikh Jihad kira-kira empat minggu lepas sebelum mengucapkan syahadah dan memilih Islam sebagai agamanya.
Bagaimanapun, sehingga kini, Roberto Carlos masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mengesahkan atau menafikan laporan berkenaan.
Khabar itu turut mendapat perhatian susulan kehidupan peribadi bekas pemain pertahanan kiri Brazil berkenaan yang menjadi tumpuan selepas perkahwinannya dengan wanita Maghribi, Souheila Tahiri.
Souheila merupakan seorang pengusaha serta ejen pemain bola sepak berlesen FIFA yang mempunyai latar belakang Maghribi-Lubnan.
Majlis perkahwinan pasangan itu yang berlangsung secara tertutup dilaporkan mempunyai unsur Islamik dan dihadiri seorang tokoh agama.
Perkembangan berkenaan kemudiannya mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat selepas dakwaan mengenai Roberto Carlos memeluk Islam tersebar di media sosial.
Roberto Carlos dikenali sebagai antara pemain pertahanan kiri terbaik dalam sejarah bola sepak dunia, khususnya ketika mewakili Real Madrid dan skuad kebangsaan Brazil.
Sepanjang bersama Real Madrid, beliau membantu kelab gergasi Sepanyol itu meraih tiga gelaran Liga Juara-Juara UEFA selain pelbagai kejuaraan domestik.
Beliau turut menjadi anggota skuad Brazil yang menjuarai Piala Dunia 2002 di Korea Selatan dan Jepun.
