ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Tun Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Ukir Sejarah, Cipta 3 Rekod Rasmi

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mencipta sejarah selepas masing-masing menerima pengiktirafan tiga rekod rasmi yang mengiktiraf usia panjang serta pencapaian luar biasa pasangan berkenaan.

Dr Mahathir, 101, diiktiraf ASEAN Records sebagai Bekas Perdana Menteri Yang Masih Hidup Paling Tua, manakala Dr Siti Hasmah, 100, menerima gelaran Pasangan Kepada Bekas Perdana Menteri Yang Masih Hidup Paling Tua.

Pasangan itu turut menerima pengiktirafan bersama daripada ASIA Records sebagai Bekas Ketua Kerajaan Pertama dan Pasangan Yang Kedua-duanya Mencapai Usia Centenarian serta Masih Hidup.

Anugerah berkenaan disampaikan Pengerusi Lembaga Penasihat ASEAN Records dan ASIA Records Tan Sri Datuk Danny Ooi, diiringi ketua juri Gillian Ooi serta Eldrick Koh pada satu majlis di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, semalam.

Pengiktirafan itu diterima selepas pasangan berkenaan meraikan ulang tahun kelahiran masing-masing pada bulan lepas, dengan Dr Mahathir menyambut ulang tahun ke-101 pada 10 Julai, manakala Dr Siti Hasmah genap 100 tahun pada 12 Julai.

Pasangan itu turut meraikan ulang tahun perkahwinan ke-70 pada 5 Ogos lepas.

Menurut pasukan pengadil, hasil semakan mendapati tiada pencapaian seumpama itu direkodkan secara terbuka di rantau ASEAN serta pasaran utama Asia.

Tiga pengiktirafan tersebut bukan sahaja meraikan usia panjang Dr Mahathir sebagai bekas pemimpin negara dan pencapaian Dr Siti Hasmah yang mencapai usia seabad, malah mengiktiraf keunikan pasangan berkenaan sebagai bekas ketua kerajaan dan pasangan yang kedua-duanya mencapai usia 100 tahun serta masih hidup.

Pengiktirafan itu sekali gus menambah satu lagi catatan bersejarah dalam perjalanan hidup pasangan berkenaan yang telah melalui pelbagai dekad sejarah moden Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *