ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Khairul Aming Umum Sambal Nyet Bilis Dilancar Di Menara Merdeka Maybank Esok

KUALA LUMPUR – Usahawan dan pempengaruh, Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming bakal melancarkan produk terbaharunya di Menara Merdeka Maybank, mercu tanda kedua tertinggi di dunia, pada Jumaat sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Khairul Aming, 33, berkata konsep kemerdekaan dipilih bagi menghargai jasa pejuang negara serta golongan yang menjadi tulang belakang pembangunan dan ekonomi negara, termasuk nelayan, petani, pekerja dan penggiat industri tempatan.

Beliau berkata kejayaan yang dikecapi tidak seharusnya membuatkan seseorang melupakan pengorbanan mereka yang menyumbang kepada pembangunan negara.

“Kepada para nelayan, petani, pekerja, pasukan media dan semua yang terlibat, terima kasih KA ucapkan.

“Kepada semua peniaga tempatan, teruskan berusaha dan sama-samalah kita memberi sokongan kepada mereka,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di media sosial, hari ini.

Sebelum ini, Khairul Aming berkongsi pengalaman menyertai nelayan menangkap ikan bilis mata biru di laut, meninjau kebun cili serta proses pengeluaran di kilang bagi menghasilkan produk baharunya.

Beliau berkata usaha itu dilakukan sebagai penghargaan kepada rantaian pengeluaran produk tempatan yang melibatkan pelbagai pihak.

“Dari dasar laut bilis ditangkap, sama-sama kita angkat produk tempatan kita ke puncak dunia,” katanya.

Khairul Aming berkata kejayaan membangunkan perniagaan tidak dicapai dalam tempoh singkat, sebaliknya memerlukan keberanian untuk mencuba dan kesungguhan untuk terus maju.

Menurut beliau, produk sambal pertamanya dilancarkan enam tahun lalu di sebuah kedai runcit kecil, manakala produk sambal terbaharu akan diperkenalkan dari bangunan tertinggi di Malaysia.

“Untuk sambal yang kedua kita akan lancarkan dari puncak tertinggi negara.

“Terima kasih kepada anda semua yang memberi kepercayaan kepada produk-produk tempatan kita,” katanya.

Beliau berkata selepas produk baharu itu habis dijual, beliau akan meneruskan siaran langsung selama tiga jam bagi mempromosikan produk tempatan lain.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan golongan muda supaya berani memasang impian besar, terus menimba ilmu dan tidak mudah berputus asa apabila berdepan kegagalan.

“KA sendiri takut hendak mencuba. Takut dinilai, takut gagal dan takut meletakkan impian yang besar.

“Tetapi saya tetap teruskan hari demi hari walaupun penat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *