e-Invois bantu LHDN kesan cukai tambahan RM1.009 bilion – Amir Hamzah
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan sistem e-Invois membantu Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mengenal pasti pendapatan yang sebelum ini tidak dilaporkan, sekali gus melibatkan cukai tambahan berjumlah RM1.009 bilion.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pencapaian tersebut menunjukkan penggunaan teknologi dan analisis data mampu meningkatkan pematuhan pembayar cukai serta mengurangkan ketirisan hasil negara.
Berdasarkan data LHDN, seramai 52,540 pembayar cukai tampil mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi tahun-tahun taksiran terdahulu.
Pengisytiharan itu melibatkan pendapatan keseluruhan sebanyak RM4.07 bilion dengan jumlah cukai kena dibayar mencecah RM1.009 bilion.
Melalui data transaksi e-Invois, LHDN dapat mengenal pasti corak kewangan luar biasa, termasuk transaksi aktif yang tidak sepadan dengan rekod pendapatan atau maklumat percukaian seseorang pembayar cukai.
Pendekatan berasaskan data itu membolehkan LHDN menghubungi pembayar cukai yang dikenal pasti sebelum mereka diberikan peluang membuat pembetulan dan pengisytiharan pendapatan secara sukarela.
Sehingga 27 Julai lalu, sebanyak 1.6 bilion e-Invois telah dikemukakan oleh lebih 248,000 pembayar cukai menerusi pelaksanaan sistem tersebut bagi fasa pertama hingga fasa keempat.
Pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024 dengan melibatkan syarikat yang mencatatkan jualan tahunan melebihi RM100 juta sebelum diperluaskan secara berperingkat kepada kumpulan perniagaan lain.
Selain mendigitalkan proses pengeluaran invois, sistem itu membolehkan rekod transaksi disimpan dengan lebih teratur serta membantu LHDN mengesan ketidakpadanan antara aktiviti perniagaan dan pendapatan yang dilaporkan.
Kerajaan turut memperkenalkan Program Pengakuan Sukarela Khas e-Invois sehingga 31 Disember 2027. Dalam tempoh tersebut, perniagaan dibenarkan menyemak, mengemas kini atau membetulkan transaksi e-Invois secara sukarela tanpa dikenakan penalti, tertakluk kepada ketetapan LHDN.
Bagaimanapun, pembayar cukai dinasihatkan supaya tidak mengambil mudah tempoh kelonggaran berkenaan. Antara ketidakpatuhan yang dikenal pasti termasuk hanya mengeluarkan e-Invois bagi sebahagian transaksi, lewat mengemukakan invois disatukan dan gagal merekodkan transaksi yang diwajibkan.
Pencapaian kutipan tambahan itu memperlihatkan bahawa e-Invois bukan sekadar menggantikan invois bercetak kepada bentuk digital, malah menjadi instrumen penting untuk meningkatkan ketelusan, memperluaskan asas percukaian dan memastikan setiap pihak membayar cukai secara adil.
