4 Pegawai Imigresen Antara 12 Ditahan Godam MyIMMs
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 12 individu, termasuk enam pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dalam operasi bersepadu bagi membongkar sindiket penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang dipercayai mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada empat pegawai JIM, dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat JIM, dua pengarah syarikat, tiga warga asing serta seorang pegawai polis.
Menurut beliau, kesemua suspek yang berusia lingkungan 30 hingga 40-an itu ditahan antara pukul 2 petang hingga 5 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM serta JIM Pulau Pinang.
“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini menyalahgunakan kuota PLKS tahun 2011 tanpa membuat bayaran levi bagi pas yang dikeluarkan.
“Siasatan setakat ini mendapati sebanyak 1,306 PLKS palsu telah dikeluarkan, menyebabkan kerajaan mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM2.4 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abd Halim berkata, pasukan penyiasat turut melakukan penggeledahan di beberapa premis syarikat serta pejabat JIM di Pulau Pinang dan Putrajaya bagi mendapatkan bahan bukti berkaitan.
Beliau berkata, operasi itu adalah hasil perkongsian risikan antara Bahagian Perisikan SPRM dan Bahagian Perisikan JIM yang dijalankan sejak Mei lalu di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.
Katanya, operasi berkenaan turut mendapat kerjasama CyberSecurity Malaysia (CSM), Telekom Malaysia dan Bahagian Forensik Teknologi SPRM.
Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.
