ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

100,000 Belia Terima Akses ‘AI Untuk Rakyat’ Percuma 3 Bulan Mulai 31 Ogos

CYBERJAYA – Kerajaan melancarkan inisiatif AI Untuk Rakyat sebagai usaha memperluaskan kefahaman dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), khususnya dalam kalangan belia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program itu menawarkan akses dan langganan percuma aplikasi AI kepada belia yang berjaya melengkapkan modul pembelajaran menerusi platform Rakyat Digital.

Menurut beliau, inisiatif tersebut akan dibuka kepada rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 30 tahun bermula 31 Ogos dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 belia.

“Belia yang melengkapkan kursus AI berkaitan akan menerima langganan percuma selama tiga bulan bagi aplikasi AI terkemuka.

“Program ini akan dibuka mulai 31 Ogos kepada rakyat Malaysia berumur antara 18 hingga 30 tahun dan dijangka memanfaatkan 100,000 belia,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran AI Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Anwar berkata, modul yang ditawarkan merangkumi aspek keselamatan AI, Generative AI, teknologi Cloud untuk rakyat serta pengenalan kepada konsep Malaysia MADANI.

Katanya, Kementerian Digital kini sedang memuktamadkan kandungan kursus berkenaan yang dijangka siap dalam tempoh satu hingga dua minggu.

“Kita menyediakan pengisian AI secara percuma dengan syarat peserta mengikuti modul kursus yang ditetapkan.

“Modul itu sedang disiapkan oleh Kementerian Digital dan kita mahu program AI Untuk Rakyat ini dilancarkan sempena Hari Merdeka,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak mahu perkembangan teknologi AI mewujudkan jurang sosial yang lebih besar dalam masyarakat.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Digital memperhebat usaha meningkatkan kesedaran serta literasi AI dalam kalangan rakyat.

“Saya tidak mahu program ini menyebabkan kesenjangan terus berlaku. Saya tidak mahu ada rakyat yang berasa terpinggir atau tidak memahami perkembangan AI.

“Sebab itu kempen penerangan dan penggunaan AI untuk rakyat mesti dipertingkatkan sebagai satu keutamaan,” katanya.

Beliau turut menggariskan peranan Kementerian Digital sebagai peneraju dalam merealisasikan aspirasi Malaysia menjadi negara berteraskan AI menjelang 2030.

Menurutnya, kementerian berkenaan bertanggungjawab memastikan penggunaan AI diperluaskan di semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan bahawa kemajuan teknologi AI tidak seharusnya menghakis nilai kemanusiaan dan sifat manusiawi dalam kehidupan seharian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *