ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Wanita Hamil Dituduh Mencuri: Lotus’s Mohon Maaf, Tindakan Tatatertib Petugas

KUALA LUMPUR – Lotus’s Malaysia mengesahkan telah mengambil tindakan tatatertib terhadap pihak yang terlibat susulan insiden seorang wanita hamil yang didakwa mencuri di cawangan pasar raya itu di Selayang, Selangor, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, syarikat itu memaklumkan tindakan berkenaan diambil selepas siasatan dalaman selesai dijalankan berhubung insiden yang turut tular di media sosial.

Menurut Lotus’s, hasil siasatan mendapati cara insiden tersebut dikendalikan tidak memenuhi standard layanan pelanggan serta tahap perkhidmatan yang ditetapkan syarikat.

“Kami mendapati cara insiden ini dikendalikan tidak memenuhi standard layanan dan perkhidmatan yang sewajarnya diharapkan pelanggan terhadap Lotus’s, mahupun standard yang kami tetapkan untuk diri kami sendiri.

“Sehubungan itu, tindakan tatatertib yang sewajarnya telah diambil selaras dengan dasar dalaman syarikat,” menurut kenyataan itu.

Lotus’s turut memohon maaf kepada pelanggan terbabit, isterinya yang sedang hamil serta ahli keluarga mereka atas pengalaman yang dilalui.

“Kepada pelanggan, isteri beliau dan keluarga, kami ingin memohon maaf atas insiden yang berlaku. Tiada pelanggan sepatutnya melalui pengalaman sedemikian ketika membeli-belah bersama kami.

“Kami amat kesal dengan apa yang telah berlaku dan telah menghubungi keluarga berkenaan secara langsung. Kami kekal komited untuk mendapatkan semula kepercayaan mereka,” katanya.

Dalam masa sama, Lotus’s memaklumkan pihaknya sedang memperkukuh garis panduan operasi, prosedur kerja serta latihan kepada kakitangan bagi memastikan standard perkhidmatan pelanggan sentiasa dipatuhi dan kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.

Syarikat itu menegaskan komitmennya untuk menyediakan pengalaman membeli-belah yang selamat, profesional dan menghormati setiap pelanggan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *