ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Johor Gesa Siasatan Menyeluruh Operasi Network School Di Forest City – MB

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor menggesa siasatan menyeluruh dijalankan terhadap operasi Network School di Forest City, Gelang Patah susulan dakwaan terdapat individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri memandang serius dakwaan tersebut dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan kedaulatan, keselamatan serta kepentingan Johor dan negara.

“Kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi keselamatan berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh.

Menurutnya, siasatan itu perlu merangkumi identiti dan kewarganegaraan individu yang terlibat, penggunaan dokumen perjalanan atau pasport kedua, jenis pas yang digunakan, tujuan kemasukan ke Malaysia serta sama ada aktiviti yang dijalankan selaras dengan tujuan kemasukan mereka ke negara ini.

Pada masa sama, beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Digital dan agensi kawal selia berkaitan turut diminta menentukan status sebenar operasi Network School, termasuk sama ada program yang dijalankan memerlukan pendaftaran atau kelulusan di bawah undang-undang Malaysia.

Di peringkat negeri pula, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor serta agensi berkaitan akan menyemak aspek pematuhan di bawah bidang kuasa masing-masing.

Semakan itu melibatkan syarat lesen premis, penggunaan bangunan, syarat nyata dan syarat khas tanah, penginapan, aktiviti perniagaan serta pematuhan terhadap peruntukan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Onn Hafiz berkata, sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, pelanggaran syarat lesen atau syarat tanah, atau sebarang unsur yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan kepentingan negeri, tindakan tegas perlu diambil tanpa sebarang kompromi.

“Kerajaan negeri akan terus bertindak secara bertanggungjawab dan berlandaskan undang-undang bagi melindungi kepentingan Johor serta mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan mengenai kewujudan Network School di Forest City yang dikaitkan dengan individu tertentu serta pelbagai dakwaan berhubung operasi program berkenaan. Dakwaan tersebut kini menjadi perhatian pelbagai pihak dan siasatan lanjut sedang diminta dijalankan oleh pihak berkuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *