ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Singapura Bukan Sekadar Negara Jiran Malah Rakan Kongsi Strategik Malaysia – Agong

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah Singapura bukan sahaja merupakan jiran terdekat Malaysia, malah rakan strategik yang amat dihargai serta antara penyumbang utama kepada perdagangan dan pelaburan negara.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Isnin, Seri Paduka Baginda bertitah hubungan dua hala yang terus kukuh terbukti melalui peningkatan perdagangan antara kedua-dua negara meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

“Singapura bukan sekadar jiran terdekat Malaysia, malah rakan yang amat dihargai dan menjadi antara pemacu utama perdagangan serta pelaburan negara.

“Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) juga mencerminkan komitmen bersama dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi serantau dan mewujudkan peluang baharu di ASEAN,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika menerima kunjungan Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam sempena Istiadat Sambutan Negara bersempena Lawatan Negara pertama pemimpin republik itu ke Malaysia sejak memegang jawatan pada September 2023.

Seri Paduka Baginda turut menyuarakan keyakinan bahawa projek Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS Link), yang dijadual beroperasi pada penghujung 2026, akan memperkukuh lagi hubungan serta kesalinghubungan antara kedua-dua negara.

“Bersama JS-SEZ, saya yakin RTS Link akan memainkan peranan penting dalam menarik lebih banyak pelaburan selain mengukuhkan kedudukan Malaysia dan Singapura sebagai pintu masuk utama ke pasaran ASEAN,” titah baginda.

Terdahulu, ketibaan Tharman bersama isterinya, Jane Ittogi Shanmugaratnam di Istana Negara disambut oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan anggota Jemaah Menteri.

Tharman kini dalam Lawatan Negara selama tiga hari ke Malaysia bermula 13 hingga 15 Julai atas jemputan Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Kementerian Luar, lawatan itu merupakan kunjungan balas kepada Lawatan Negara Sultan Ibrahim ke Singapura pada 6 dan 7 Mei 2024.

Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di peringkat global dan rakan dagang terbesar negara dalam kalangan anggota ASEAN.

Pada 2025, nilai perdagangan dua hala Malaysia-Singapura mencecah RM402.35 bilion (AS$93.97 bilion), meningkat 1.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 pula, jumlah perdagangan meningkat 14.5 peratus kepada RM189.90 bilion (AS$47.87 bilion), berbanding RM165.93 bilion (AS$37.65 bilion) yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *