ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Politik

“Terima Kasih Mama, Abuya Dan Tunang Yang Setia Bersama” – Syed Saddiq

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menzahirkan penghargaan kepada keluarga, khususnya ibu bapanya serta tunangnya, Bella Astillah, yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan sepanjang enam tahun beliau berdepan proses perundangan.

Beliau berkata demikian selepas Mahkamah Persekutuan pada Isnin menolak rayuan pihak pendakwaan, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskannya daripada empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU.

Menurut Syed Saddiq, sokongan daripada ahli keluarga menjadi sumber kekuatan terbesar sepanjang menghadapi perbicaraan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga, khususnya mama dan abuya. Mereka melalui saat yang sangat sukar bersama saya, terutama mama.

“Saya juga berterima kasih kepada tunang saya yang setia berada di sisi saya. Bukan mudah kerana sebelum ini saya berstatus tertuduh, tetapi dia tetap bersama saya. Alhamdulillah, hari ini saya tidak mengecewakan sokongan dan pengorbanannya,” katanya kepada pemberita.

Mengulas mengenai kehidupan peribadinya, bekas Menteri Belia dan Sukan itu memaklumkan ibu bapanya memberi isyarat positif berhubung perancangannya untuk mendirikan rumah tangga selepas beliau menunaikan sujud syukur sebaik keputusan mahkamah diumumkan.

“Tadi selepas saya sujud syukur, ayah dan ibu memberikan isyarat yang positif mengenai perkahwinan. Tetapi untuk ulasan lanjut, mungkin boleh ditanya di luar mahkamah kerana saya menghormati institusi ini.

“Saya tidak mahu fokus hari ini hanya tertumpu kepada diri saya atau kehidupan peribadi saya,” katanya.

Menyentuh mengenai masa depan politiknya, Syed Saddiq menegaskan beliau masih bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), namun memerlukan sedikit masa sebelum membuat sebarang keputusan mengenai langkah politik seterusnya.

“Saya sentiasa menjadi sebahagian daripada MUDA. Mengenai perancangan politik masa depan, berikan saya sedikit masa. Hari ini saya mahu meluangkan masa bersama keluarga dan menyusun semula kehidupan peribadi saya,” katanya.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang enam tahun lalu, beliau menegaskan semangat untuk terus berkhidmat kepada negara tidak akan luntur.

“Api perjuangan untuk membantu membina semula Malaysia tidak akan pernah padam. Enam tahun ini mengajar saya satu pengajaran yang sangat berharga.

“Apabila kita berada dalam keadaan paling sukar dan seolah-olah tiada harapan, jangan sesekali mengorbankan prinsip, integriti dan maruah demi jalan keluar yang mudah.

“Sebaliknya, teruskan meletakkan kepercayaan kepada Tuhan dan institusi yang menjadikan negara ini kuat. Selagi kepercayaan itu wujud, kita mampu membawa perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan berkaitan dana ARMADA BERSATU, sekali gus melepaskan beliau sepenuhnya daripada sabitan dan hukuman yang dikenakan sebelum ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *