ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Politik

PRN Johor: BN Menang Di 48 Kerusi DUN, PH 8

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 apabila berjaya menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus memperkukuh mandat untuk terus menerajui pentadbiran negeri.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi selepas pengiraan undi di hampir semua saluran selesai setakat jam 10.50 malam, BN bukan sahaja mengekalkan penguasaan di kebanyakan kubu tradisi, malah merampas lapan kerusi yang sebelum ini dimenangi Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Kemenangan kali ini turut mengatasi pencapaian BN pada PRN Johor 2022 apabila parti itu memperoleh majoriti lebih besar di beberapa kawasan.

Sementara itu, PH berjaya mempertahankan lapan kerusi DUN, iaitu Penggaram, Bentayan, Simpang Jeram, Mengkibol, Stulang, Skudai, Puteri Wangsa dan Senai.

Kerusi Simpang Jeram menjadi pertandingan paling sengit apabila calon PH menang dengan majoriti tipis 180 undi selepas pengiraan di semua 73 saluran mengundi selesai.

PN pula mengalami kekalahan besar apabila gagal memenangi sebarang kerusi, termasuk tidak dapat mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi pada PRN 2022 iaitu Bukit Kepong, Maharani dan Endau.

Dalam komponen BN, MCA menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila merampas beberapa kerusi yang sebelum ini dikuasai DAP, termasuk Jementah, Tangkak dan Johor Jaya, selain mengekalkan Yong Peng, Pekan Nanas, Paloh dan Bekok.

MIC turut mencatat keputusan positif apabila memenangi semua kerusi yang ditandingi, termasuk membuat kejutan dengan merampas Bukit Batu daripada PH serta mengekalkan Kemelah dan Kahang, selain memenangi Perling.

Antara kemenangan yang menjadi perhatian ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mempertahankan DUN Machap dengan majoriti lebih besar, manakala bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba turut menang selesa di DUN Pasir Raja.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Sumali Reduan pula memenangi DUN Benut dalam penampilan sulungnya sebagai calon pilihan raya negeri, menggantikan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Di DUN Larkin, calon BN, Mohd Hairi Mad Shah berjaya menewaskan calon PH yang juga Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiyat dalam antara pertandingan yang paling mendapat perhatian.

Alwiyah Talib turut mengekalkan kedudukannya sebagai wakil rakyat Endau untuk penggal ketiga, kali ini atas tiket BN selepas sebelum ini mewakili PN.

Di DUN Senggarang, Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar (PH) dan bekas Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon (PN) tewas dalam saingan tiga penjuru kepada calon BN.

Kekalahan PN turut menyaksikan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal gagal mempertahankan Bukit Kepong, manakala PAS kehilangan kerusi Maharani yang dimenangi pada PRN lalu.

Dalam kalangan parti komponen PH, AMANAH berjaya mempertahankan Simpang Jeram menerusi Nazri Abd Rahman, manakala PKR mengekalkan Puteri Wangsa tetapi gagal mempertahankan Bukit Batu.

Berikut senarai penuh kerusi dimenangi BN:

N01: Buloh Kasap (UMNO)

N02: Jementah (MCA)

N03: Pemanis (UMNO)

N04: Kemelah (MIC)

N05: Tenang (UMNO)

N06: Bekok (MCA)

N07: Bukit Kepong (UMNO)

N08: Bukit Pasir (UMNO)

N09: Gambir (UMNO)

N10: Tangkak (MCA)

N11: Serom (UMNO)

N14: Bukit Naning (UMNO)

N15: Maharani (UMNO)

N16: Sungai Balang (UMNO)

N17: Semerah (UMNO)

N18: Sri Medan (UMNO)

N19: Yong Peng (MCA)

N20: Semarang (UMNO)

N21: Parit Yaani (UMNO)

N22: Parit Raja (UMNO)

N24: Senggarang (UMNO)

N25: Rengit (UMNO)

N26: Machap (UMNO)

N27: Layang-Layang (MCA)

N29: Mahkota (UMNO)

N30: Paloh (MCA)

N31: Kahang (MIC)

N32: Endau (UMNO)

N33: Tenggaroh (UMNO)

N34: Panti (UMNO)

N35: Pasir Raja (UMNO)

N36: Sedili (UMNO)

N37: Johor Lama (UMNO)

N38: Penawar (UMNO)

N39: Tanjung Surat (UMNO)

N40: Tiram (UMNO)

N42: Johor Jaya (MCA)

N43: Permas (UMNO)

N44: Larkin (UMNO)

N46: Perling (MIC)

N47: Kempas (UMNO)

N49: Kota Iskandar (UMNO)

N50: Bukit Permai (UMNO)

N51: Bukit Batu (MIC)

N53: Benut (UMNO)

N54: Pulai Sebatang (UMNO)

N55: Pekas Nanas (MCA)

N56: Kukup (UMNO)

Berikut senarai penuh kerusi dimenangi PH:

N52: Senai (DAP)

N45: Stulang (DAP)

N28: Mengkibol (DAP)

N13: Simpang Jeram (AMANAH)

N12: Bentayan (DAP)

N48: Skudai (DAP)

N41: Puteri Wangsa (PKR)

N23: Penggaram (DAP)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *