ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Pekerja Boleh Pilih Keluar Skim LINDUNG 24 Jam Bermula Isnin Ini

KUALA LUMPUR – Pekerja yang memilih untuk tidak menyertai Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) boleh mengemukakan permohonan untuk keluar daripada skim itu bermula Isnin ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz berkata, permohonan keluar atau opt-out boleh dibuat secara dalam talian dengan mengisi borang perakuan pelepasan liabiliti.

Beliau berkata, borang berkenaan perlu diisi oleh pekerja yang tidak mahu meneruskan penyertaan dalam skim itu bagi mengesahkan keputusan mereka melepaskan hak perlindungan di bawah LINDUNG 24 Jam.

“Pekerja yang memilih untuk keluar daripada skim ini perlu mengisi borang perakuan pelepasan liabiliti. Selepas borang itu disahkan, PERKESO dan majikan tidak lagi bertanggungjawab terhadap sebarang kemalangan, kecederaan atau kematian yang berlaku di luar waktu bekerja.

“Ini bermakna mereka tidak akan menikmati sebarang perlindungan di bawah skim tersebut. Oleh itu, pekerja perlu memahami implikasi keputusan ini dan tidak menyalahkan PERKESO atau majikan sekiranya berlaku kejadian di luar waktu bekerja,” katanya pada sidang media di Menara PERKESO di sini pada Jumaat.

Pada Rabu lalu, Jemaah Menteri memutuskan pelaksanaan Skim LINDUNG 24 Jam tidak lagi diwajibkan kepada pekerja tempatan, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan pelbagai maklum balas yang diterima daripada orang ramai berhubung pelaksanaan skim berkenaan.

Sebelum ini, lebih sembilan juta pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dilaporkan menerima perlindungan automatik bagi kemalangan bukan bencana kerja yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan sebelum ini menjelaskan bahawa Skim LINDUNG 24 Jam diperkenalkan menerusi pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 bagi memperluaskan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja, termasuk ketika berada di luar waktu bekerja, cuti umum dan hari kelepasan am.

Menurut beliau, skim itu dibiayai sepenuhnya melalui caruman pekerja dan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa yang ditetapkan, tertakluk kepada had siling gaji sebanyak RM6,000.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *