Pelakon Wanita Drama Kepolisan Didakwa Masukkan 3 Jenis Dadah Ke Dalam Badan
KUALA LUMPUR – Seorang pelakon wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin ke dalam badannya.
Tertuduh, Tisha Shamsir, 40, atau nama sebenarnya Shanorbiah Shamsir Alam, didakwa berdasarkan keputusan ujian air kencing yang mendapati dia telah memasukkan ketiga-tiga jenis dadah itu ke dalam badannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pada kira-kira 7.30 pagi, 7 Julai lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun serta pengawasan antara dua hingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurainna Maryam Norazman memohon mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Azhar Nik Adib memohon jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu, selain menanggung kedua-dua ibu bapanya yang berusia lingkungan 70-an selepas berpisah dengan suami.
Beliau turut berhujah bahawa tertuduh telah memberikan kerjasama sepanjang siasatan, hadir ke mahkamah secara sukarela selepas dibebaskan dengan jaminan polis dan tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.
Majistret Khairunissak Hassni kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Oktober depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Tisha yang memakai pelitup muka tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada kira-kira 8.49 pagi dengan diiringi tiga pengawal keselamatan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelakon wanita yang membintangi drama kepolisan ditahan dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di ibu negara selepas didapati positif dadah.
Dalam operasi yang dijalankan pada 7 Julai itu, polis turut menahan 14 individu terdiri daripada penjaga premis, tujuh lelaki dan enam wanita bagi membantu siasatan.
