GenAI Berpotensi Jejas Hampir 80 Juta Pekerja Di ASEAN
GENEVA – Kecerdasan buatan generatif (GenAI) berpotensi mempengaruhi hampir 80 juta pekerja di rantau ASEAN, namun setakat ini tiada bukti menunjukkan teknologi itu menyebabkan kehilangan pekerjaan secara besar-besaran, menurut kajian terbaharu Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Laporan bertajuk Generative AI and Labour Markets in ASEAN: Significant Exposure, Limited Disruption, Uneven Preparedness itu mengkaji kesan GenAI terhadap pasaran buruh di 11 negara ASEAN dengan menilai tahap pendedahan pekerjaan serta corak semasa penggunaan teknologi berkenaan.
Menurut ILO, dianggarkan 22.9 peratus daripada keseluruhan pekerjaan di ASEAN pada 2025, bersamaan hampir 80 juta pekerja, mempunyai sekurang-kurangnya sedikit potensi pendedahan kepada GenAI.
Bagaimanapun, hanya 3.3 peratus daripada tenaga kerja, atau kira-kira 11.7 juta pekerja, berada dalam kategori pekerjaan yang mempunyai tahap pendedahan tertinggi kepada teknologi itu.
Pada masa sama, kira-kira 67 peratus pekerjaan di rantau ini masih berada dalam kategori yang tidak mempunyai pendedahan kepada GenAI.
Daripada sembilan negara ASEAN yang mempunyai data, Singapura merekodkan kadar tertinggi pekerja yang terdedah kepada GenAI, iaitu 42.2 peratus daripada jumlah pekerjaan, diikuti Filipina (28.1 peratus), Indonesia (21.7 peratus), Vietnam (20.8 peratus) dan Thailand (20.6 peratus).
Menurut laporan itu, kadar yang lebih tinggi di Singapura dan Filipina dipengaruhi oleh ekonomi yang lebih berteraskan sektor perkhidmatan serta teknologi maklumat.
ILO turut menyatakan jumlah pekerjaan dalam kategori yang mempunyai pendedahan tinggi kepada GenAI dijangka terus meningkat di seluruh ASEAN.
“Potensi perubahan dalam pasaran buruh adalah besar, namun gangguan secara meluas masih belum dapat dilihat,” menurut laporan itu.
Laporan berkenaan menjelaskan penggunaan GenAI masih berada pada peringkat awal dan tidak sekata, dengan penerimaannya lebih tertumpu dalam pekerjaan berasaskan teknologi, manakala penggunaannya dalam tugas pentadbiran dan pejabat masih terhad walaupun sektor itu mempunyai tahap pendedahan yang tinggi.
Kajian itu juga mendapati pekerja muda berusia antara 15 hingga 24 tahun mempunyai tahap pendedahan yang hampir sama dengan pekerja dewasa.
Namun, wanita didapati lebih dua kali ganda berkemungkinan bekerja dalam pekerjaan yang mempunyai tahap pendedahan tinggi kepada GenAI berbanding lelaki, berikutan penyertaan mereka yang lebih besar dalam bidang perkeranian, pentadbiran dan profesional.
Dari segi kesiapsiagaan, laporan itu mengenal pasti jurang yang ketara dalam kalangan negara ASEAN, dengan Singapura muncul sebagai negara paling bersedia hasil infrastruktur digital yang kukuh, tenaga kerja berkemahiran tinggi serta strategi nasional AI yang menyeluruh.
Bagi memastikan pembangunan AI memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi dan pasaran pekerjaan, ILO mengesyorkan beberapa keutamaan termasuk memperkukuh tadbir urus AI yang berteraskan manusia, memperluas program peningkatan dan latihan semula kemahiran, khususnya untuk wanita dan belia, meningkatkan sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta memperkukuh kerjasama serantau dalam pembangunan modal insan.
