ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Mengapa Lebuhraya KL-Karak tiada lorong Smart Lane?

KUALA LUMPUR: Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) merupakan antara laluan utama yang menghubungkan Lembah Klang dengan Pantai Timur dan sering mengalami kesesakan, khususnya ketika musim perayaan serta cuti umum.

Namun, berbeza dengan beberapa lebuh raya lain di negara ini, KLK masih belum melaksanakan penggunaan Smart Lane, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna jalan raya.

Persoalan itu turut dibangkitkan seorang pengguna Threads yang ingin mengetahui mengapa kemudahan tersebut tidak diperkenalkan di lebuh raya berkenaan walaupun trafiknya sering sesak.

Menjawab persoalan itu, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menjelaskan bahawa keadaan fizikal dan reka bentuk Lebuhraya KL-Karak tidak sesuai untuk pelaksanaan Smart Lane.

Menurut LPT, sebahagian besar laluan KLK merentasi kawasan berbukit di Banjaran Titiwangsa dengan laluan yang berselekoh, pendakian curam serta perubahan ketinggian yang ketara.

Keadaan itu memerlukan lorong kecemasan sentiasa berada dalam keadaan boleh digunakan bagi tujuan operasi menyelamat dan pengurusan kecemasan.

Malah, lorong berkenaan digunakan oleh kenderaan yang mengalami kerosakan, pasukan bantuan kecemasan, rondaan lebuh raya serta unit tindak balas insiden yang perlu bergerak pantas sekiranya berlaku kemalangan atau kecemasan.

Atas faktor tersebut, LPT memaklumkan keselamatan pengguna menjadi keutamaan, sekali gus menjadikan pelaksanaan Smart Lane di KLK tidak praktikal seperti di lebuh raya lain yang mempunyai laluan lebih rata, lurus dan bahu jalan yang lebih luas.

Walaupun Smart Lane tidak diperkenalkan, LPT menjelaskan beberapa langkah lain sedang dilaksanakan bagi memastikan aliran trafik lebih lancar.

Antaranya ialah pemantauan trafik secara berterusan melalui Traffic Control Centre (TCC) menggunakan kamera CCTV, sensor dan sistem analitik trafik, selain pasukan rondaan yang bersedia 24 jam untuk memberi bantuan sekiranya berlaku insiden.

Selain itu, pengurusan trafik turut diperkukuh menerusi penggunaan papan tanda elektronik (VMS), kawalan had laju serta sistem pengurusan aliran trafik yang lebih strategik.

Dalam masa sama, projek pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan penambahbaikan sistem pencahayaan turut dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti laluan serta tahap keselamatan pengguna dalam jangka panjang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *