ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

“Anak Saya Bukan Sasaran, Dia Tak Sempat Lari” – Bapa Pelajar Ditikam Di Sekolah

BANTING – Bapa kepada seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun yang cedera dalam insiden tikaman di sebuah sekolah menengah di sini semalam berkata anaknya kini berada dalam keadaan sedar dan sedang menerima rawatan di Hospital Banting.

Mohd Firuz Ibrahim, 43, berkata beliau dimaklumkan doktor bahawa anaknya mengalami beberapa kecederaan termasuk pada paru-paru kiri akibat serangan itu.

“Semasa saya sampai di hospital, keadaannya agak serius. Tidak lama kemudian dia dibawa menjalani imbasan untuk mengenal pasti tahap kecederaan.

“Paru-paru kirinya cedera, namun dia sedar dan masih boleh bercakap,” katanya ketika ditemui pemberita di hospital hari ini.

Beliau mendakwa anaknya mengalami kira-kira 14 kesan tikaman, kebanyakannya di bahagian belakang badan, selain kecederaan pada muka dan kepala.

Mohd Firuz berkata anaknya mengenali pelajar lelaki berusia 15 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu kerana mereka pernah menjadi rakan sekelas tahun lalu.

“Mereka memang saling mengenali kerana pernah belajar dalam kelas yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, beliau percaya anaknya bukan sasaran utama serangan berkenaan.

“Saya rasa anak saya bukan sasaran. Mungkin individu itu mahu menyerang orang lain, tetapi anak saya berada paling hampir dengannya ketika kejadian.

“Mungkin juga kerana keadaan fizikalnya yang agak besar menyebabkan dia tidak sempat mengelak,” katanya.

Mengimbas detik menerima berita itu, Mohd Firuz berkata beliau sedang bekerja sebelum menyedari beberapa panggilan tidak dijawab termasuk daripada pihak sekolah.

“Apabila saya hubungi semula, barulah saya dimaklumkan anak saya ditikam. Pada mulanya saya sangka dia hanya tidak sihat atau demam. Saya memang terkejut apabila mengetahui perkara sebenar,” katanya.

Beliau berkata doktor kini sedang berusaha mengeluarkan darah yang terkumpul di paru-paru anaknya akibat kecederaan tersebut.

Mohd Firuz berkata anak keduanya itu telah bersekolah di sekolah berkenaan sejak tiga tahun lalu dan tidak pernah mengadu menjadi mangsa gangguan atau mempunyai masalah dengan pelajar lain.

Mengulas aspek keselamatan sekolah, beliau berpandangan langkah kawalan perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Selepas apa yang berlaku hari ini, saya rasa aspek keselamatan di sekolah perlu diperkukuh. Pemeriksaan yang lebih rapi di pintu masuk perlu dilakukan sebelum sesiapa dibenarkan memasuki kawasan sekolah,” katanya.

Beliau berkata, meskipun sedih dengan kejadian itu, fokus utama keluarga ketika ini adalah memastikan anaknya pulih sepenuhnya.

“Sudah tentu saya sedih dengan apa yang berlaku, tetapi sekarang kami hanya mahu memberi tumpuan kepada proses pemulihan anak,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *