ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Politik

PRN Johor: BN, PH Pertaruh Strategi Berbeza, Punyai Kekuatan Tersendiri

JOHOR BAHRU – Memasuki minggu kedua kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, dua gabungan utama iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) terus memperhebat gerak kerja bagi mendekati pengundi menerusi pendekatan kempen yang berbeza menjelang hari pengundian Sabtu ini.

Kedua-dua gabungan yang bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dilihat menampilkan strategi tersendiri dalam usaha meraih sokongan rakyat.

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Mohammad Tawfik Yaakub berkata PH memberi penekanan kepada tawaran dasar yang memfokuskan isu kos sara hidup, peningkatan pendapatan, perumahan mampu milik, pembangunan modal insan serta pengagihan manfaat ekonomi kepada rakyat.

Menurut beliau, pendekatan itu bertujuan meyakinkan pengundi bahawa pembangunan negeri perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat.

“PH cuba meyakinkan pengundi bahawa pembangunan Johor tidak cukup sekadar diukur melalui angka pelaburan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada gaji yang lebih baik, peluang pekerjaan berkualiti, perumahan mampu milik dan kebajikan rakyat,” katanya.

PH sebelum ini melancarkan manifesto ‘Johor Untuk Semua’ yang menggariskan pelbagai inisiatif termasuk usaha meningkatkan kadar gaji domestik serta memastikan manfaat pelaburan dapat dinikmati rakyat secara menyeluruh.

Sementara itu, kempen BN pula dilihat memanfaatkan penyertaan beberapa tokoh politik berprofil tinggi termasuk bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang kembali bersama parti menerusi Rumah Bangsa.

Mengulas perkara itu, Mohammad Tawfik berkata landskap politik semasa menunjukkan pengundi semakin kritikal dan tidak lagi mudah dipengaruhi hanya dengan kehadiran tokoh politik terkenal.

“Pengundi hari ini bukan sahaja melihat siapa yang hadir berkempen, tetapi turut menilai sama ada parti menawarkan dasar yang jelas, calon yang berwibawa dan penyelesaian kepada masalah rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Mohd Yusry Ibrahim berpandangan penyertaan aktif Hishammuddin dalam kempen berpotensi mengembalikan keyakinan sebahagian penyokong tradisi UMNO, khususnya di Johor.

Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu berkata pengaruh Hishammuddin di negeri berkenaan masih signifikan dan mampu membantu mengukuhkan sokongan terhadap BN.

Beliau turut berpandangan kehadiran Khairy mampu memberi kelebihan kepada BN dalam usaha mendekati pengundi muda memandangkan bekas Menteri Kesihatan itu masih mempunyai penerimaan yang baik dalam kalangan golongan tersebut.

“Khairy secara konsisten mendapat sambutan positif dalam kalangan pengundi muda. Kepulangannya mampu menarik perhatian segmen pengundi yang sebelum ini sukar didekati oleh UMNO dan BN,” katanya.

Menurut Mohd Yusry, pola sokongan pengundi muda kini semakin dinamik kerana mereka tidak lagi mempunyai kesetiaan yang kuat kepada mana-mana parti politik.

“Golongan muda lebih cenderung menilai calon dan personaliti yang mereka kenali serta rasakan dekat dengan mereka. Sebab itu faktor calon menjadi semakin penting dalam mempengaruhi kecenderungan pengundian,” katanya.

PRN Johor ke-16 menyaksikan seramai 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi DUN. Proses pengundian awal dijadual berlangsung esok, manakala hari pengundian ditetapkan pada Sabtu ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *