ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

MCMC Guna 19.7 Tahun Waktu Bekerja Fail Aduan 345,712 Kandungan Memudaratkan

KUALA LUMPUR – Setiap proses penyediaan aduan dan dokumen bagi membuktikan sesuatu kandungan di media sosial adalah memudaratkan mengambil masa antara 30 hingga 45 minit sebelum difailkan kepada penyedia platform, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata berdasarkan tempoh itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dianggarkan telah menggunakan kira-kira 19.7 tahun waktu bekerja (man-hours) untuk memfailkan aduan membabitkan 345,712 kandungan memudaratkan yang dikenal pasti sejak 1 Januari hingga semalam.

“Sebanyak 345,712 kandungan memudaratkan telah dikenal pasti dan dipohon untuk diturunkan oleh MCMC bagi tempoh 1 Januari hingga semalam.

“Daripada jumlah itu, 91 peratus merupakan kandungan berulang yang membabitkan perjudian dan penipuan (scam),” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Rodziah Ismail (PH-Ampang) berhubung keupayaan teknikal MCMC serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Fahmi berkata MCMC kini sedang meneliti penggunaan kecerdasan buatan beragen (agentic AI) bagi mengurangkan kebergantungan kepada proses manual dalam menguruskan aduan berkaitan kandungan memudaratkan.

Bagaimanapun, beliau berkata tanggungjawab utama menangani penyebaran kandungan berbahaya seharusnya dipikul oleh penyedia platform media sosial memandangkan kebanyakan kandungan jenayah itu disiarkan melalui platform masing-masing.

“Meskipun aduan dikemukakan oleh MCMC dan orang ramai, masih terdapat platform yang enggan mengambil tindakan tegas menyebabkan kandungan itu terus berulang.

“Pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 bersama peraturan-peraturan subsidiarinya diharap dapat memastikan platform media sosial bertindak lebih proaktif dalam mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat,” katanya.

Mengulas penggunaan AI oleh syarikat media sosial, Fahmi berkata syarikat seperti ByteDance yang mengendalikan TikTok dilaporkan telah mengurangkan jumlah pekerja, khususnya dalam pasukan keselamatan dan kepercayaan, susulan penggunaan AI bagi memantau pelanggaran garis panduan komuniti.

Beliau bagaimanapun berkata teknologi itu masih belum digunakan secara optimum untuk mengesan dan menurunkan kandungan memudaratkan.

“Platform perlu mengoptimumkan penggunaan AI, manakala MCMC juga akan memanfaatkan teknologi sama bagi mempertingkat kecekapan dalam menguruskan isu kemudaratan dalam talian,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *