ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Politik

Arahan PAS Undi BN “Tikam Belakang Kawan Sendiri” Beri Kelebihan PH – Fuziah

JOHOR BAHRU – Tindakan PAS mengarahkan ahli dan penyokongnya mengundi calon UMNO-Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan hanya akan menguntungkan Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, arahan itu memperlihatkan keretakan dalam PN selain menggambarkan berlakunya tindakan yang disifatkan sebagai ‘tikam belakang’ terhadap rakan sendiri dalam gabungan berkenaan.

“Saya melihat perkara ini lebih memberi kesan kepada PN kerana apa yang diumumkan PAS sebenarnya seperti menikam belakang rakan mereka sendiri.

“PAS dan BERSATU dilihat berpecah secara dalaman walaupun berada dalam gabungan yang sama. Pada masa sama, BN juga berdepan isu dalaman. Semua keadaan ini sebenarnya memberi kelebihan kepada PH,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kilang SDS Food Manufacturing Sdn Bhd di Skudai, di sini, hari ini.

Kelmarin, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, parti itu mengarahkan semua ahli dan penyokongnya mengundi calon UMNO-BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi PN.

Menurut beliau, arahan itu dikeluarkan bagi memastikan sokongan diberikan kepada calon UMNO-BN di kawasan yang tidak mempunyai calon daripada PN.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, perkembangan itu menunjukkan wujud usaha kerjasama politik antara PAS dan BN.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi Johor menilai dengan teliti bentuk kerajaan yang mahu dipilih pada PRN kali ini.

“Pengundi Johor perlu fikir kerajaan seperti apa yang mereka mahukan.

“Kalau mereka mengundi BN, mereka akan mendapat PAS. Kalau mereka mengundi PAS, mereka akan mendapat BN. Jadi, fikirkanlah sebaik-baiknya dan buat keputusan sebagai pengundi yang bijak,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *