Lebih 4,500 Kanak-Kanak Hilang Dalam Tempoh 5 tahun
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 4,557 kes kehilangan kanak-kanak di seluruh negara sepanjang tempoh 2021 hingga 2025 dengan trend menunjukkan peningkatan setiap tahun, kecuali pada 2023.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 594 kes direkodkan pada 2021, diikuti 903 kes pada 2022, 778 kes pada 2023, 1,063 kes pada 2024 dan meningkat kepada 1,219 kes pada 2025.
Menurut beliau, jumlah kes pada 2023 menunjukkan penurunan sebanyak 13.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata, setiap laporan kehilangan kanak-kanak akan diklasifikasikan serta-merta sebagai kes Orang Hilang (OH) bagi membolehkan tindakan pengesanan dilakukan tanpa perlu menunggu tempoh tertentu.
“PDRM turut memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai agensi termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Imigresen Malaysia, pihak sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media dalam usaha mengesan serta menyelamatkan kanak-kanak yang dilaporkan hilang,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) yang meminta Kementerian Dalam Negeri menjelaskan usaha kerajaan menangani peningkatan kes kehilangan kanak-kanak sejak 2021.
Saifuddin berkata, PDRM turut memperluaskan penggunaan platform digital bagi menyebarkan maklumat orang hilang melalui portal hebahan kanak-kanak hilang yang boleh diakses orang ramai menerusi laman web rasmi PDRM.
Selain itu, katanya, program advokasi dan kesedaran awam terus dipergiat bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai aspek keselamatan kanak-kanak, risiko melarikan diri dari rumah, eksploitasi dalam talian, pengaruh media sosial serta kepentingan pemantauan oleh ibu bapa dan penjaga.
Beliau berkata, PDRM juga mengoptimumkan peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dengan memberi tumpuan kepada keselamatan murid sekolah serta mempertingkat pemantauan terhadap kes kehilangan berulang.
Pada masa sama, pihak polis turut mengenal pasti faktor utama yang menyumbang kepada kehilangan kanak-kanak, antaranya konflik keluarga, pengaruh rakan sebaya, masalah emosi, eksploitasi seksual, penggunaan media sosial secara tidak terkawal serta kecenderungan melarikan diri dari rumah atau institusi jagaan.
