Malaysia Airlines Diiktiraf Syarikat Penerbangan Bertaraf Seven Star PLUS
KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines terus mengukuhkan reputasinya di peringkat antarabangsa apabila diiktiraf sebagai syarikat penerbangan bertaraf keselamatan Seven Star PLUS oleh portal penarafan bebas, AirlineRatings.com.
Pengiktirafan berprestij itu meletakkan syarikat penerbangan negara sebaris dengan beberapa syarikat penerbangan terkemuka dunia seperti Etihad Airways, Cathay Pacific dan Air New Zealand yang terkenal dengan standard keselamatan operasi dan perkhidmatan kabin yang tinggi.
Menurut AirlineRatings.com, penarafan itu diberikan selepas audit bebas yang menilai tahap pematuhan kru kabin terhadap prosedur keselamatan ketika operasi penerbangan sebenar.
Audit berkenaan dijalankan secara anonim melibatkan enam penerbangan berasingan bagi menilai pelbagai aspek keselamatan, termasuk kecekapan kru, prosedur kabin dan pengendalian situasi ketika penerbangan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirlineRatings.com, Sharon Petersen berkata, antara kekuatan utama Malaysia Airlines ialah disiplin tinggi kru kabin dalam memastikan penumpang mematuhi arahan keselamatan, khususnya ketika lampu isyarat tali pinggang keledar dinyalakan.
“Mereka menunjukkan tahap ketekunan yang tinggi sepanjang tempoh lampu isyarat dihidupkan walaupun terdapat penumpang yang mula berasa gelisah. Taklimat pintu kecemasan yang disampaikan juga sangat mengagumkan,” katanya.
Beliau turut memuji usaha berterusan Malaysia Airlines sepanjang sedekad lalu dalam memperkukuh pengurusan sumber kru, faktor manusia dan pengurusan keletihan, yang disifatkan sebagai antara amalan terbaik dalam industri penerbangan.
Sementara itu, Malaysia Aviation Group (MAG), selaku syarikat induk Malaysia Airlines, menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai bukti komitmen berterusan organisasi dalam membudayakan aspek keselamatan di setiap peringkat operasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Penerbangan MAG, Bryan Foong berkata, pencapaian itu mencerminkan disiplin operasi, profesionalisme kru serta pematuhan tinggi terhadap standard keselamatan dalam kalangan warga kerja.
“Keselamatan merupakan asas kepada setiap aspek operasi kami dan menjadi tanggungjawab bersama seluruh tenaga kerja.
“Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi komitmen kami untuk terus meningkatkan keupayaan serta mengekalkan standard keselamatan tertinggi demi kesejahteraan penumpang,” katanya.
Seven Star PLUS ialah penarafan keselamatan tertinggi yang diberikan oleh AirlineRatings.com kepada syarikat penerbangan yang sebelum ini telah memperoleh penarafan maksimum tujuh bintang.
Bagi melayakkan diri menerima pengiktirafan tersebut, sesebuah syarikat penerbangan perlu melepasi audit keselamatan yang ketat merangkumi pelbagai aspek operasi sebenar, termasuk kecekapan kru kabin, pematuhan prosedur keselamatan dan pengendalian situasi seperti turbulens.
Pengiktirafan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia Airlines sebagai antara syarikat penerbangan dunia yang mengutamakan keselamatan, profesionalisme dan kecemerlangan operasi.
