13,309 Individu Berjaya Kembali Bekerja Melalui Platform MYFutureJobs Tahun Ini
PUTRAJAYA – Seramai 13,309 individu atau hampir 31 peratus daripada mereka yang kehilangan pekerjaan berjaya kembali bekerja menerusi pelbagai intervensi pasaran buruh yang dilaksanakan kerajaan, menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
KESUMA memaklumkan, pencapaian itu berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sehingga 12 Jun lalu dan mencerminkan keberkesanan usaha kerajaan dalam membantu individu terjejas mendapatkan semula pekerjaan.
Menurut kementerian itu, kerajaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada pemantauan isu kehilangan pekerjaan, malah memastikan golongan terkesan kembali menjana pendapatan melalui pelbagai inisiatif pasaran buruh yang komprehensif.
“Jumlah itu merupakan sebahagian daripada 62,644 penempatan pekerjaan yang berjaya direalisasikan menerusi portal MYFutureJobs, sekali gus membuktikan keberkesanan sistem padanan pekerjaan yang dilaksanakan.
“Fokus KESUMA adalah membantu rakyat kembali bekerja, bukan sekadar merekodkan kehilangan pekerjaan,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
KESUMA memaklumkan, kebanyakan individu yang berjaya ditempatkan semula memperoleh pekerjaan dalam sektor perkhidmatan, diikuti sektor pembuatan dan pembinaan, sekali gus menunjukkan permintaan tenaga kerja kekal kukuh dalam sektor ekonomi utama negara.
Dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja, PERKESO turut memperhebat pelaksanaan program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) bagi memastikan pencari kerja memiliki kemahiran yang selari dengan keperluan industri semasa.
Sehingga kini, seramai 2,697 Orang Berinsurans telah diluluskan untuk mengikuti program latihan berkenaan.
Menurut KESUMA, majoriti peserta mengikuti kursus dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), diikuti program berkaitan sektor perdagangan borong dan runcit serta pensijilan kemahiran yang memenuhi keperluan industri pembuatan.
“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan pelbagai inisiatif yang diterajui KESUMA melalui agensi-agensinya dalam membantu individu yang terjejas kembali menjana pendapatan dan meneruskan kehidupan,” menurut kenyataan itu.
Selain program latihan, PERKESO turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk perkhidmatan padanan pekerjaan melalui MYFutureJobs, kaunseling kerjaya, bantuan mobiliti pekerjaan serta perlindungan sosial di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).
KESUMA berkata, kementerian itu terus memperkukuh kebolehpasaran tenaga kerja menerusi pelbagai program pembangunan bakat dan kemahiran yang dilaksanakan oleh PERKESO, HRD Corp, TalentCorp, Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Jabatan Tenaga Manusia, selaras dengan perubahan keperluan industri.
Menurutnya, pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan termasuk Pakej Daya Tahan Ekonomi 2026 turut membantu memperluaskan peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta mempercepatkan penempatan semula pekerja yang terkesan.
“KESUMA akan terus memantau perkembangan pasaran buruh secara proaktif serta bekerjasama rapat dengan majikan, industri dan rakan strategik bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti diwujudkan untuk rakyat,” menurut kenyataan itu.
