Hakim Danish Sukar Gambarkan Perasaan Raih Podium Utama Di GP Czech
KUALA LUMPUR – Pelumba muda sensasi negara, Muhammad Hakim Danish Ramli mengakui sukar meluahkan perasaan gembira selepas berjaya meraih kemenangan sulung dalam Kejuaraan Dunia Moto3 musim ini pada Grand Prix (GP) Czech di Litar Brno, semalam.
Hakim Danish menyifatkan kejayaan tersebut sebagai detik paling bermakna dalam kariernya setakat ini, lebih-lebih lagi selepas berdepan pelbagai cabaran sepanjang hujung minggu perlumbaan.
Menurut pelumba berusia 18 tahun itu, kemenangan berkenaan bukan sahaja penting buat dirinya, malah untuk pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI serta seluruh peminat sukan permotoran tanah air yang sentiasa memberikan sokongan.
“Hujung minggu ini bukan mudah kerana kami berdepan pelbagai cabaran. Namun saya tidak pernah berhenti percaya kepada kemampuan diri sendiri dan usaha yang dilakukan bersama pasukan.
“Saya amat bersyukur kerana akhirnya berjaya meraih kemenangan pertama di pentas Kejuaraan Dunia Moto3. Kejayaan ini saya dedikasikan kepada semua yang sentiasa menyokong saya,” katanya dalam satu kenyataan.
Kemenangan itu hadir dengan penuh dramatik apabila Hakim Danish terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-14 selepas dikenakan penalti susulan kesalahan memperlahankan jenteranya dalam salah satu sektor ketika sesi kelayakan kedua (Q2), walaupun berjaya mencatat masa kedua terpantas pada sesi kelayakan.
Bagaimanapun, pelumba kelahiran Terengganu itu mempamerkan tunggangan cemerlang apabila berjaya memintas seorang demi seorang pencabar sebelum melintasi garisan penamat di kedudukan pertama dengan catatan masa 33 minit 34.26 saat.
Pelumba Sepanyol, Brian Uriarte dari pasukan Red Bull KTM Ajo menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan ketinggalan 0.466 saat, manakala seorang lagi pelumba Sepanyol, Marco Quiles dari pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team, melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga dengan jurang 0.629 saat.
Kejayaan itu turut menjadi podium kedua Hakim Danish musim ini selepas mencatat keputusan memberangsangkan apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada GP Itali di Litar Mugello bulan lalu.
Lebih manis, kemenangan tersebut menamatkan penantian hampir sedekad Malaysia untuk menyaksikan wakil negara menjuarai perlumbaan Moto3 sejak kali terakhir dicapai oleh Khairul Idham Pawi pada GP Argentina dan GP Jerman pada musim 2016.
Kemenangan di Brno juga mengukuhkan reputasi Hakim Danish sebagai antara prospek terbaik negara dalam arena perlumbaan motosikal dunia serta memberi petanda positif terhadap peluangnya untuk terus mencabar kelompok hadapan dalam baki saingan musim ini.
