Menteri Pengangkutan Akui Pasang ‘Sunshade’ Satu Kesalahan Tapi…
KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempunyai kuasa untuk mengambil pelbagai tindakan penguatkuasaan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan di bawah akta dan perundangan sedia ada.
Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, fokus utama pihak berkuasa ketika ini adalah terhadap kesalahan yang memberi risiko tinggi kepada keselamatan awam, khususnya pengguna jalan raya.
Menurut beliau, walaupun pemasangan aksesori seperti pelindung cahaya matahari atau sunshade yang tidak mematuhi spesifikasi boleh dikenakan tindakan, perkara itu bukan antara keutamaan penguatkuasaan JPJ pada masa ini.
“Memang terdapat pelbagai jenis kesalahan yang diperuntukkan dalam undang-undang, namun keutamaan kita adalah terhadap isu yang lebih kritikal melibatkan keselamatan.
“Kesalahan seperti lumba haram, pemanduan di bawah pengaruh alkohol, pemanduan tanpa lesen serta aktiviti mat rempit yang membahayakan pengguna jalan raya lain adalah antara perkara yang diberi tumpuan utama,” katanya pada sesi taklimat khas media mengenai Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2025 di sini.
Beliau mengulas isu penggunaan sunshade yang sebelum ini menjadi perdebatan selepas timbul kebimbangan bahawa pemasangannya boleh mengganggu penglihatan pemandu dan menjejaskan aspek keselamatan ketika memandu.
Kenyataan JPJ berhubung larangan penggunaan aksesori tersebut turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen selepas agensi itu menjelaskan pemasangan sunshade yang tidak mematuhi spesifikasi boleh dikenakan saman sehingga RM300.
Mengulas lanjut, Anthony menegaskan bahawa setakat ini JPJ tidak pernah mengeluarkan saman terhadap pengguna kenderaan semata-mata kerana memasang sunshade.
“Namun, jika ditanya kepada pengarah JPJ negeri mengenai perkara itu, mereka perlu menjelaskan kedudukan undang-undang yang sedia ada kerana peraturan tersebut memang wujud.
“Itulah realiti sebenar berhubung isu sunshade ini. Peraturannya ada, tetapi penguatkuasaan ketika ini lebih tertumpu kepada kesalahan yang memberi ancaman besar terhadap keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
