Malaysia Optimis MoU Damai AS-Iran Mampu Buka Jalan Penamatan Konflik
KAZAN – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan bahawa memorandum persefahaman (MoU) damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran berpotensi menjadi titik tolak penting ke arah menamatkan konflik serta mewujudkan kestabilan yang lebih berkekalan di Asia Barat.
Menurut beliau, perkembangan positif dalam rundingan antara kedua-dua negara memberi harapan baharu walaupun perjanjian muktamad perlu dicapai dalam tempoh 60 hari seperti yang dipersetujui.
Anwar berkata, keyakinan tersebut turut disandarkan kepada maklumat yang diterimanya daripada Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, yang memainkan peranan penting sebagai pengantara dalam proses rundingan berkenaan.
“Tempoh 60 hari itu tidak lama dan kita sama-sama mendoakan agar segala usaha ini berjaya. Berdasarkan maklumat yang dikongsikan oleh Perdana Menteri Pakistan kepada saya, beliau terlibat secara langsung dalam setiap peringkat rundingan dan perkembangan yang dilaporkan kelihatan amat positif.
“Dalam pertemuan saya dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, beliau juga menyatakan pandangan yang sama serta menunjukkan keyakinan terhadap proses tersebut,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia ke-35 di Kazan pada Khamis.
Bagaimanapun, Anwar mengakui masih terdapat pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku memandangkan rundingan itu turut melibatkan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump. Namun secara keseluruhannya, beliau melihat prospek kejayaan perjanjian tersebut sebagai sesuatu yang memberangsangkan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa usaha mencapai perdamaian di rantau berkenaan tidak seharusnya mengalihkan perhatian dunia daripada krisis kemanusiaan yang masih berlarutan di kawasan konflik lain.
“Kita mesti terus mengingatkan masyarakat antarabangsa agar tidak melupakan penderitaan yang sedang dialami rakyat di Gaza dan Lubnan akibat tindakan berterusan rejim Zionis Israel,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Luar menerusi Wisma Putra menyambut baik pengumuman MoU antara AS dan Iran serta menyifatkannya sebagai langkah penting dalam meredakan ketegangan geopolitik di Asia Barat dan membuka ruang kepada penyelesaian yang lebih menyeluruh serta berkekalan.
Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada beberapa negara termasuk Pakistan, Qatar, Mesir, Arab Saudi dan Turkiye atas peranan aktif mereka dalam menyokong usaha diplomatik dan dialog antara kedua-dua pihak.
Anwar berada di Kazan bagi menghadiri sidang kemuncak ASEAN-Rusia yang berlangsung selama dua hari sebelum meneruskan lawatan rasmi ke Turkmenistan atas jemputan Presiden Serdar Berdimuhamedov.
