JustGO Bakal Buka Laluan Tol Lebih Lancar Di Lebuhraya Utara-Selatan
SUBANG – Masalah kesesakan di plaza tol yang sering membelenggu pengguna lebuh raya, terutama pada waktu puncak dan musim perayaan, dijangka dapat diatasi menerusi pelaksanaan sistem pembayaran tol baharu, JustGO, yang menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR).
Sistem berasaskan nombor pendaftaran kenderaan itu kini sedang melalui fasa percubaan di wilayah utara sebelum diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara, sekali gus membawa perubahan besar kepada kaedah pembayaran tol sedia ada.
Berbanding sistem konvensional seperti Touch ‘n Go, SmartTAG dan RFID, JustGO memperkenalkan konsep Lane Freedom yang membolehkan pengguna melalui mana-mana lorong yang dilengkapi teknologi ANPR tanpa memerlukan sebarang peranti tambahan.
Jurucakap JustGO Solutions Sdn Bhd, Peter Lee berkata, sistem itu dibangunkan bagi memudahkan urusan pembayaran tol selain membantu melancarkan aliran trafik di plaza tol.
“Menerusi JustGO, pengguna tidak perlu menanggung kos pendaftaran atau memasang peranti tambahan. Mereka hanya perlu memuat turun aplikasi JustGO Malaysia, mendaftarkan kenderaan dan boleh menggunakan mana-mana lorong yang menyokong sistem ini.
“Pendekatan ini dapat mengurangkan kesesakan kerana pengguna tidak lagi perlu bertukar lorong pada saat akhir untuk mencari lorong pembayaran tertentu,” katanya ketika ditemui di Plaza Tol Subang baru-baru ini.
Melalui aplikasi JustGO Malaysia, pengguna hanya perlu melengkapkan proses pendaftaran digital yang merangkumi pengesahan identiti, maklumat kenderaan dan kaedah pembayaran pilihan.
Selepas pendaftaran selesai, sistem akan mengesan nombor plat kenderaan secara automatik apabila menghampiri plaza tol sebelum transaksi diproses dan palang dibuka tanpa memerlukan sebarang sentuhan atau imbasan kad.
Selain pembayaran tol, aplikasi berkenaan turut menyediakan rekod transaksi untuk tujuan semakan dan tuntutan, termasuk kemudahan e-Invois bagi memudahkan pengurusan perbelanjaan pengguna.
Menurut Peter, JustGO bukan sekadar satu lagi pilihan pembayaran tol, sebaliknya sebuah platform yang menawarkan fleksibiliti kepada pengguna serta mengurangkan kebergantungan terhadap sistem yang terikat kepada lorong tertentu.
Sehingga kini, lebih 750,000 transaksi telah direkodkan sepanjang pelaksanaan sistem itu di wilayah utara, sekali gus menunjukkan peningkatan penerimaan dalam kalangan pengguna lebuh raya.
Malah, pelaksanaan JustGO dilihat sebagai langkah penting ke arah merealisasikan sistem Multi-Lane Fast Flow (MLFF) yang disasarkan oleh Kementerian Kerja Raya menjelang tahun 2027.
Peter berkata, syarikat kini memberi tumpuan kepada peluasan sistem tersebut di sepanjang jajaran Lebuhraya Utara-Selatan.
“JustGO telah beroperasi dari Hutan Kampung hingga Sungai Dua dan kami merancang untuk memperluaskan penggunaannya dari Juru hingga Skudai di Lebuhraya Utara-Selatan.
“Sekiranya semuanya berjalan lancar, operasi bagi jajaran baharu itu dijangka bermula pada Ogos ini,” katanya.
Beliau menambah, kadar penerimaan pengguna akan menjadi faktor utama dalam menentukan kelajuan peluasan sistem berkenaan ke seluruh rangkaian lebuh raya negara.
Bagi mereka yang ingin menjadi pengguna awal, proses pendaftaran boleh dilakukan menerusi konsep “3D” iaitu Download, Daftar dan Drive.
Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi JustGO, melengkapkan maklumat diri, kenderaan dan kaedah pembayaran sebelum menikmati kemudahan Lane Freedom apabila sistem itu diperluaskan ke lebih banyak lebuh raya.
Dengan jumlah pengguna yang terus meningkat, setiap pendaftaran baharu bukan sahaja membantu mempercepatkan peluasan JustGO, malah membawa Malaysia lebih hampir ke arah sistem lebuh raya yang lebih pintar, lancar dan bersepadu pada masa hadapan.
