2 Anggota Tentera Maut Bom Meletup, Panglima Arah Siasatan
GURUN – Dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) maut selepas dipercayai mengalami kecederaan parah akibat letupan ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Kem Hobart, di sini pada Selasa.
Mangsa yang terdiri daripada seorang anggota lelaki dan seorang anggota wanita disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada jam 12.30 tengah hari.
Sementara itu, TDM menerusi satu kenyataan memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 10.57 pagi ketika sesi latihan membaling grenad dalam Program Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) di bawah Divisyen Kedua Infantri Malaysia.
Menurut kenyataan itu, mangsa yang terlibat ialah Koperal Norazmi Abu Bakar dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip dari Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).
“Kedua-dua anggota mengalami kecederaan akibat letupan yang berlaku semasa latihan tersebut dan telah dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan kecemasan.
“Bagaimanapun, kedua-duanya disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” menurut kenyataan itu.
Jenazah mangsa akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi tujuan bedah siasat.
Dalam pada itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan dua anggota berkenaan serta merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Beliau turut mendoakan agar ahli keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
Pada masa sama, beliau mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
TDM turut memberi jaminan bahawa aspek keselamatan dalam setiap latihan ketenteraan akan terus diberi perhatian serius, selain penambahbaikan sewajarnya akan dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan.
