Maskot Piala Dunia Cekup Suspek Pengedar Dadah
LIMA – Taktik penyamaran sebagai maskot rasmi Piala Dunia 2026 membawa tuah kepada polis Peru apabila berjaya menahan seorang suspek pengedar dadah dalam operasi khas di ibu negara negara itu.
Ketua Skuadron Hijau, Kolonel Carlos Alcantara berkata, suspek dikenali sebagai Carlos Cabrera, 48, ditahan hasil operasi yang dijalankan ketika suasana Piala Dunia sedang hangat diperkatakan susulan perlawanan pembukaan antara Mexico dan Afrika Selatan pada Khamis lalu.
Menurutnya, hasil risikan mendapati suspek merupakan peminat tegar bola sepak dan sedang mengikuti perkembangan kejohanan tersebut.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, kami mengambil keputusan menggunakan penyamaran sebagai maskot Piala Dunia bagi mendekatinya tanpa menimbulkan sebarang syak wasangka sebelum tindakan penahanan dilakukan,” katanya.
Dalam operasi itu, dua anggota polis yang menyamar sebagai maskot Clutch dan Maple turut memecahkan pintu premis menggunakan tukul besi sebelum menyerbu masuk bersama pasukan serbuan lain.
Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 2,524 paket kokain asas serta sepucuk pistol yang dipercayai digunakan suspek.
Menurut pihak berkuasa Peru, kesalahan mengedar dadah dalam kuantiti kecil boleh membawa hukuman penjara antara tiga hingga tujuh tahun sekiranya individu terbabit didapati memiliki antara lima hingga 50 gram kokain asas.
Polis Peru sememangnya terkenal dengan pendekatan kreatif dalam operasi penyamaran. Sebelum ini, anggota penguat kuasa pernah menyamar sebagai pelbagai watak popular termasuk The Grinch, Freddy Krueger, Deadpool, Wolverine dan Santa Claus bagi memerangkap suspek jenayah.
Bagi Piala Dunia 2026, tiga maskot dipilih mewakili negara tuan rumah bersama iaitu Clutch, seekor helang botak mewakili Amerika Syarikat, Maple yang melambangkan Kanada serta Zayu, seekor jaguar yang mewakili Mexico.
