Malaysia Sambut Baik Persefahaman Dicapai AS-Iran Tamatkan Permusuhan
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik persefahaman yang dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran ke arah menamatkan permusuhan, sambil menyifatkannya sebagai perkembangan penting dalam usaha meredakan ketegangan di Asia Barat.
Menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu, beliau turut mengalu-alukan pengumuman bahawa memorandum persefahaman antara kedua-dua negara dijangka dimeterai dalam masa terdekat.
Menurut Anwar, usaha diplomasi dan pengantaraan yang berjaya membawa kedua-dua pihak ke tahap persefahaman itu wajar diberikan pengiktirafan, khususnya peranan yang dimainkan oleh Pakistan.
“Pembukaan semula Selat Hormuz kepada perkapalan antarabangsa mesti diberi keutamaan segera.
“Selat itu merupakan laluan strategik yang amat penting kepada keselamatan tenaga dunia dan perdagangan antarabangsa.
“Sebarang gangguan yang berpanjangan tidak akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia menggesa semua pihak untuk terus bertindak dengan niat baik serta memastikan proses yang dipersetujui dapat diteruskan tanpa sebarang kelewatan.
Menurutnya, persefahaman yang dicapai perlu diterjemahkan kepada penyelesaian damai yang berkekalan demi kestabilan rantau dan kesejahteraan masyarakat antarabangsa.
Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak yang terlibat termasuk pihak luar yang mempunyai kepentingan di rantau berkenaan supaya menahan diri daripada melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan usaha diplomasi atau mencetuskan semula konflik.
“Malaysia bersedia menyokong segala inisiatif ke arah mencapai keamanan yang adil dan berkekalan serta menggesa masyarakat antarabangsa untuk terus mengekalkan momentum positif yang sedang terbina,” katanya.
