NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Politik

Tok Pa, Hishammuddin Antara 6 Tokoh Kembali Ke Pangkuan UMNO

KUALA LUMPUR – Seramai 21,858 individu disahkan menyertai atau kembali menjadi ahli UMNO menerusi inisiatif Rumah Bangsa sejak pendaftaran secara dalam talian dibuka pada 20 April lalu.

Daripada jumlah itu, enam bekas pemimpin kanan UMNO turut disenaraikan antara mereka yang kembali bersama parti berkenaan, termasuk bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar; bekas Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar serta Datuk Mokhtar Samad.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, angka tersebut menunjukkan sambutan positif terhadap usaha penyatuan semula yang digerakkan parti itu.

Menurutnya, dalam tempoh kurang dua bulan, kemasukan ahli baharu dan penyertaan semula bekas ahli serta pimpinan UMNO, termasuk beberapa bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari seluruh negara, terus menunjukkan peningkatan.

“Dalam tempoh tidak sampai dua bulan, pendaftaran ahli baharu dan kemasukan semula bekas pimpinan serta ahli UMNO, termasuk pimpinan Bersatu di seluruh Malaysia, telah mencecah 21,858 orang.

“Semoga Allah memberkati dan merahmati Rumah Bangsa yang telah banyak berjasa dalam mencorakkan serta memartabatkan agama, bangsa dan tanah air sepanjang lapan dekad perjuangannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Rumah Bangsa merupakan inisiatif yang diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai platform penyatuan semula orang Melayu serta membuka ruang kepada bekas ahli untuk kembali bersama parti itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *