NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Bayaran Cecah RM40,000 Seorang, Peguam Dedah Sindiket Terancang Seludup Rohingya

KUALA LUMPUR – Sindiket penyeludupan etnik Rohingya ke Malaysia dipercayai mengenakan bayaran antara RM15,000 hingga RM25,000 bagi setiap individu yang dibawa masuk ke negara ini, bergantung kepada umur, jantina serta tujuan kemasukan mereka.

Peguam, Nurul Hafidzah Hassan berkata, kadar bayaran itu boleh meningkat sehingga RM30,000 hingga RM40,000 khususnya bagi kanak-kanak perempuan dan wanita yang akan dinikahkan di Malaysia.

Menurut beliau, proses penyeludupan melibatkan rangkaian ejen di beberapa negara, termasuk Myanmar dan Malaysia. Katanya, ejen Rohingya di Malaysia akan membuat bayaran kepada ejen di Myanmar bersama maklumat lengkap individu yang perlu dibawa masuk ke negara ini.

Beliau mendakwa migran terbabit akan melalui beberapa fasa perjalanan laut, termasuk pertukaran bot di tengah laut sebelum merentasi perairan Thailand dan Indonesia.

“Mereka akan menunggu ketibaan bot lain yang mengambil alih perjalanan sebelum dibawa oleh tekong laut tempatan menggunakan bot yang lebih kecil untuk memasuki perairan Malaysia.

“Setibanya di daratan, mereka dipercayai diambil oleh individu yang bertindak sebagai tekong darat dan dibawa menggunakan lori ke lokasi transit,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Nurul Hafidzah berkata, maklumat itu diperoleh berdasarkan pengalamannya mengendalikan kes melibatkan anggota polis yang didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Menurutnya, migran yang tiba di Malaysia biasanya ditempatkan sementara di rumah transit yang disewa oleh ejen Rohingya sebelum dihantar ke destinasi yang telah ditetapkan.

“Mereka kemudiannya dijemput menggunakan kenderaan lain dan dihantar secara berperingkat, lazimnya dalam kumpulan kecil, bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau turut mendakwa kebanyakan operasi penyeludupan yang dijalankan secara rahsia berjaya dilaksanakan, manakala operasi yang maklumat pergerakannya diketahui atau dilaporkan lebih awal sering berakhir dengan kegagalan.

Dalam pada itu, Nurul Hafidzah berpandangan usaha membanteras penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) Rohingya perlu memberi tumpuan kepada individu yang bersekongkol dengan sindiket berkenaan.

“Jika mahu membanteras penyeludupan PATI Rohingya, yang perlu dihapuskan ialah tali barut yang membantu sindiket, bukannya mereka yang menjalankan tugas dengan jujur demi negara.

“Alhamdulillah, anak guam saya dan individu lain yang terlibat dalam kes tersebut telah dilepaskan dan dibebaskan. Semoga ia menjadi pengajaran kepada semua pihak,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *