Juruterbang Didakwa Lakukan 900 Penerbangan Tanpa Lesen Sah Selama 17 Tahun
TORONTO – Seorang bekas juruterbang kanan Air Canada didakwa menerbangkan ratusan penerbangan komersial selama hampir dua dekad menggunakan kelayakan yang didakwa dipalsukan, menurut pihak berkuasa Kanada.
Geoffrey Wall, 59, dari Ontario, berdepan beberapa pertuduhan jenayah selepas siasatan mendapati beliau didakwa menggunakan dokumen kelayakan palsu sejak dinaikkan pangkat sebagai kapten pada tahun 2009.
Menurut Polis Wilayah Peel, Wall telah berkhidmat dengan Air Canada selama 27 tahun sejak menyertai syarikat penerbangan itu pada 1998. Bagaimanapun, siasatan mendapati beliau didakwa memberi gambaran palsu mengenai kelayakannya untuk memegang jawatan kapten pesawat.
Bagi menyandang jawatan tersebut, seseorang juruterbang diwajibkan memiliki Lesen Juruterbang Pengangkutan Syarikat (ATPL), iaitu lesen tertinggi dalam bidang penerbangan komersial yang diperoleh melalui beberapa siri peperiksaan dan penilaian khusus.
Timbalan Ketua Polis Wilayah Peel, Nick Milinovich, menyifatkan kes itu sebagai situasi yang amat serius.
“Ia seumpama seorang doktor yang hanya mempunyai kelayakan perubatan am tetapi melakukan pembedahan otak,” katanya.
Sepanjang tempoh 17 tahun lalu, Wall didakwa menerbangkan pelbagai jenis pesawat Boeing dalam kira-kira 900 penerbangan domestik dan antarabangsa serta menerima gaji bernilai jutaan dolar walaupun tidak memiliki lesen yang diperlukan untuk berkhidmat sebagai kapten.
Kegiatan itu terbongkar tahun lalu ketika proses semakan dan penilaian rutin dijalankan oleh pihak berkuasa penerbangan. Ketidakselarasan yang dikesan pada dokumen lesen yang dikemukakan mencetuskan siasatan oleh pihak Transport Canada.
Hasil siasatan lanjut, termasuk analisis terhadap dokumen yang dirampas menerusi waran geledah, mendapati lesen berkenaan dipercayai dipalsukan.
Wall didakwa pada 1 Jun lalu atas tujuh pertuduhan, termasuk penipuan, pemalsuan dokumen dan memiliki cap palsu.
Dalam satu kenyataan, Air Canada memaklumkan bahawa Wall telah digantung tugas serta-merta selepas isu tersebut dikesan dan syarikat itu secara sukarela melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa penerbangan.
Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu menegaskan bahawa keselamatan penumpang tidak pernah terjejas kerana semua juruterbang tertakluk kepada latihan berkala dan penilaian kecekapan setiap enam bulan.
Air Canada turut menjelaskan bahawa Wall sebenarnya memiliki lesen juruterbang komersial yang sah, namun tidak mempunyai lesen ATPL yang diwajibkan bagi seseorang yang berkhidmat sebagai kapten pesawat mengikut peraturan penerbangan Kanada.
Menurut syarikat itu lagi, audit dalaman yang dijalankan terhadap semua juruterbang selepas insiden tersebut tidak menemui sebarang pelanggaran lain.
Mengulas bagaimana penipuan itu boleh berlarutan begitu lama tanpa dikesan, Milinovich berkata individu yang melakukan penipuan lazimnya mempunyai keupayaan untuk memperdaya sistem dalam tempoh yang panjang.
“Kes seperti ini mungkin jarang berlaku, namun apabila seseorang berjaya memanipulasi sistem untuk tempoh yang lama, akhirnya ia tetap akan terbongkar,” katanya.
Wall dijadualkan hadir ke mahkamah pada 29 Jun bagi menghadapi pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
