PM Anwar Diberi Sambutan Rasmi Di Pejabat PM Takaichi
TOKYO – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima sambutan rasmi di Pejabat Perdana Menteri Jepun sempena lawatan rasmi beliau ke negara itu.
Ketibaan Anwar disambut oleh rakan sejawatnya, Sanae Takaichi, sebelum beliau diberikan penghormatan kawalan kehormatan dengan iringan lagu kebangsaan Malaysia dan Jepun.
Dalam istiadat sambutan tersebut, Anwar turut diperkenalkan kepada barisan menteri Kabinet Jepun serta pegawai kanan kerajaan negara itu, sebelum memperkenalkan delegasi Malaysia kepada Perdana Menteri Jepun.
Sejurus selesai majlis sambutan rasmi, kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat dua hala bagi membincangkan pelbagai isu berkepentingan bersama termasuk usaha memperkukuh hubungan Malaysia-Jepun serta kerjasama di peringkat serantau.
Lawatan itu merupakan lawatan rasmi pertama Anwar ke Jepun sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November 2022.
Sebelum ini, beliau pernah mengadakan dua lawatan kerja ke Jepun masing-masing pada tahun 2023 dan 2024.
