NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Polis Rakam Keterangan Azam Baki, Bantu Siasatan 2 Kes Berasingan

KUALA LUMPUR – Polis telah selesai merakam keterangan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bagi membantu siasatan membabitkan dua kes berasingan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, rakaman keterangan itu berkaitan laporan yang diterbitkan Bloomberg.com yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah berhubung pemilikan saham dalam Velocity Capital Partner Berhad serta dakwaan penyalahgunaan kuasa dan ugutan jenayah terhadap seorang ahli perniagaan, Albert Tei.

Menurut beliau, kedua-dua siasatan telah dilengkapkan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

“Polis telah merakam keterangan beliau mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Kumar menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu atau menjejaskan proses siasatan.

“Polis komited memastikan setiap siasatan dijalankan secara telus dan berintegriti demi menjamin keadilan. Tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Azam ketika dihubungi memaklumkan beliau memberi keterangan selama kira-kira dua jam bermula jam 9 pagi di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Beliau turut berkata peguamnya sedang memuktamadkan tindakan saman terhadap Albert Tei yang didakwa telah menjejaskan reputasinya.

“Kami akan memfailkan saman dalam masa terdekat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *