Sultan Ibrahim Santuni Rakyat Ketika Santap Pagi Di Muar
MUAR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan meluangkan masa beramah mesra dengan masyarakat setempat sambil menikmati santapan pagi di R&H Cafe Satay Maharani, di sini.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda terlebih dahulu memandu sendiri dari Kuala Lumpur melalui Tangkak sebelum meneruskan perjalanan ke bandar Muar.
Keberangkatan Sultan Ibrahim disambut Pegawai Daerah Muar, Zainal Eran; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar, Norrizam Muhamad; serta Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz.
Sepanjang kunjungan tersebut, Seri Paduka Baginda turut meluangkan masa berinteraksi dan beramah mesra dengan orang ramai yang hadir di premis berkenaan.
Kehadiran Sultan Ibrahim itu sekali lagi mencerminkan keprihatinan dan sifat mesra rakyat Seri Paduka Baginda yang sentiasa dekat dengan masyarakat serta tidak melepaskan peluang untuk menyantuni rakyat daripada pelbagai lapisan.
