MB Negeri Sembilan Menghadap Tuanku Muhriz Hampir 2 Jam
SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap, di sini, pagi ini.
Aminuddin dilihat memasuki pekarangan istana pada jam 9.05 pagi sebelum meninggalkan lokasi kira-kira jam 10.47 pagi.
Turut mengiringi beliau ialah Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad.
Mengulas pertemuan tersebut, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menjelaskan bahawa sesi menghadap Yang di-Pertuan Besar merupakan rutin yang lazim dilakukan setiap hari Rabu sebelum beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) di Wisma Negeri.
“Biasa hari Rabu menghadap Tuanku,” katanya ringkas ketika ditemui selepas keluar dari Istana Hinggap.
Bagaimanapun, kunjungan kali ini menjadi perhatian media susulan spekulasi yang semakin hangat mengenai kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Aminuddin dijangka mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO negeri pada jam 1.30 tengah hari.
Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu turut mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan PH Negeri Sembilan yang berlangsung di Kediaman Rasmi Menteri Besar.
Mesyuarat berkenaan diadakan ketika timbul desas-desus mengenai kemungkinan pembubaran DUN bagi membolehkan PRN diadakan lebih awal.
Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin berkata, perbincangan tertumpu kepada kesiapsiagaan jentera PH dalam menghadapi pilihan raya negeri yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
“Kami membincangkan kesiapsiagaan jentera pilihan raya PH untuk PRN yang bakal menjelang,” katanya yang juga Ahli Parlimen Rasah.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Datuk P. Gunasekaren memaklumkan mesyuarat tersebut turut memberi fokus kepada penyelarasan gerak kerja dan persiapan parti bagi menghadapi kemungkinan berlakunya pilihan raya negeri.
