Nathiah Hilang 3 Hari Ikut ‘Budak Kecil’ Berjalan Dalam Kebun Sawit
PONTIAN – Seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu berjaya ditemukan dalam keadaan selamat di sebuah kebun sawit di sini, semalam.
Mangsa, Nathiah Selamat, 77, ditemui kira-kira jam 10.50 pagi oleh seorang pekerja kebun, Mohamed Suib Kamso, 50, di kawasan kebun sawit Kampung Parit Wakaf, Tenggayon, kira-kira 2.4 kilometer dari lokasi beliau dilaporkan hilang.
Menurut Mohamed Suib, ketika sedang bekerja dia terdengar suara seseorang mengerang kesakitan dan keletihan sebelum bertindak mencari punca suara tersebut.
“Sebaik menghampiri kawasan itu, saya terkejut apabila mendapati seorang wanita warga emas sedang duduk dalam keadaan keliru. Rupa-rupanya beliau adalah Nathiah yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu,” katanya.
Beliau berkata, selepas memastikan keadaan mangsa, dia segera bergegas memaklumkan penemuan itu kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang berada berhampiran.
Menurutnya, Nathiah kelihatan kebingungan ketika ditemui dan diberikan air minuman sebelum menceritakan pengalamannya sepanjang tempoh kehilangan.
“Mangsa memaklumkan dia berjalan jauh merentasi beberapa kawasan kebun sawit bersama seorang ‘budak kecil’ sehingga keletihan sebelum tertidur.
“Beliau memberitahu telah melalui kawasan kebun sawit di Kampung Medan Sari dan Kampung Seri Bunian sebelum akhirnya ditemui di Kampung Parit Wakaf, Tenggayon,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Nathiah hilang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Seri Bunian sekitar jam 11 pagi pada 26 Mei lalu, sekali gus mencetuskan operasi pencarian melibatkan penduduk kampung dan pihak berkuasa.
Selepas ditemui, mangsa dibawa oleh pasukan SAR ke Hospital Pontian untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.
