Tiket Madani F1 GP Bahrain Di Sepang Habis Terjual
TEMERLOH – Tiket Madani berharga serendah RM200 bagi menyaksikan perlumbaan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober ini habis terjual.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari berkata menurut pihak SIC, tiket berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat Malaysia selepas sistem jualan dibuka kepada orang awam.
“Setakat hari ini (tiket Madani) memang dah terjual secara keseluruhan, tetapi kita akan melihat juga sekiranya ada ruang dan keperluan untuk tambahan (tiket Madani) dan sebagainya. Kita akan umumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Innovation Development Through Educational Activities (iDEA’26) dan Jelajah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Institusi Latihan Kemahiran Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS) Zon Timur 2026 di Dewan Tun Razak di sini, hari ini.
Mengulas iDEA’26, Taufiq berkata program itu bukan sekadar platform pertandingan inovasi, sebaliknya medan untuk mengembangkan idea, kreativiti dan kepakaran pelajar TVET supaya berpotensi dikomersialkan di pasaran tempatan, ASEAN serta antarabangsa.
“Produk mereka ini amat wajar untuk dipasarkan dan tidak terhenti setakat memenangi pertandingan. Kita akan menilai dan melihat bagaimana produk itu boleh dikembangkan dengan lebih jauh, termasuk membuat penambahbaikan sebelum ia boleh dipasarkan di seluruh negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut memperkukuh agenda TVET negara menerusi 12 memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara institusi latihan kemahiran dan rakan strategik industri.
Menurutnya, kerjasama itu dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda selain memastikan kemahiran yang ditawarkan institusi latihan selari dengan keperluan industri.
“Itulah tujuan iDEA’26, bukan hanya untuk memenangi pertandingan tetapi untuk mengembangkan inovasi, mencipta produk yang mempunyai nilai pasaran dan melahirkan bakat baharu dalam negara,” katanya.
