PRN Melaka: Saifuddin, Ab Rauf dijangka bincang kerjasama
PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) berhubung kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau berkemungkinan bertemu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi membincangkan perkara berkenaan selepas kepulangan Ab Rauf dari New Zealand.
Menurut Saifuddin, hubungan baik antara beliau dan Ab Rauf juga membolehkan perbincangan mengenai perkembangan politik Melaka dilakukan secara terbuka.
Beliau berkata, kedua-duanya sememangnya sering berhubung dan berbincang mengenai pelbagai perkara, termasuk perkembangan semasa di negeri berkenaan.
“Kalau ke Melaka saya mesti singgah rumah dia, makan asam pedas Mak Leha dengan dia. Jadi kami sentiasa berhubung.
“Dalam berhubung itu kami bincang pelbagai perkara. Oleh kerana Melaka sudah dekat pilihan raya, kemungkinan kita akan membuka tajuk itu,” katanya.
Saifuddin yang juga Naib Presiden PKR dan kini menjalankan tugas Timbalan Presiden parti itu berkata demikian selepas menghadiri majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), di sini, pada Selasa.
Perkembangan itu menyusul kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 8 Ogos lalu yang memaklumkan bahawa BN masih membuka ruang rundingan mengenai pembahagian kerusi bagi PRN Melaka.
Ahmad Zahid berkata, perundingan termasuk kemungkinan pertukaran kawasan boleh dibincangkan sekiranya dilakukan atas dasar kejujuran dan keikhlasan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan prinsip bahawa kerusi yang telah dimenangi oleh mana-mana parti perlu dihormati dan tidak boleh diserahkan begitu sahaja kepada rakan politik.
Kenyataan itu kemudiannya disambut Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil yang melihat keterbukaan BN untuk berunding sebagai sesuatu yang wajar diberi perhatian demi kestabilan politik Melaka.
Perbincangan antara PH dan BN itu kini menjadi antara perkara yang dinanti-nantikan menjelang PRN Melaka, terutama berkaitan bentuk kerjasama serta pembahagian kerusi sekiranya kedua-dua parti mencapai persefahaman.
