KUALA LUMPUR – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan pendapatan rakyat, mengembangkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti di sepanjang laluannya.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, ECRL berpotensi merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara Pantai Timur dan Pantai Barat melalui hubungan pengangkutan lebih baik, peluasan pasaran serta peningkatan daya tarikan pelaburan.
Menurut beliau, manfaat projek itu bergantung pada keupayaan bandar di sepanjang laluan menghubungkan kemudahan rel dengan aktiviti perniagaan, industri dan logistik tempatan.
PMKS berpotensi memperoleh peluang melalui kontrak pembekalan dan perkhidmatan, termasuk sektor makanan dan minuman, penyelenggaraan, pengangkutan pengantara serta penginapan. Pertambahan pengunjung juga boleh meningkatkan permintaan terhadap restoran, inap desa, kraftangan dan produk tempatan.
Bagaimanapun, penjimatan kos logistik tidak berlaku secara automatik kerana ia bergantung pada kadar tambang, jumlah muatan, caj pengendalian dan kos penghantaran ke terminal.
Sehubungan itu, DPMM mencadangkan pembangunan vendor tempatan diperkukuh melalui akses perolehan yang telus, kontrak bersesuaian dengan kemampuan PMKS, pembiayaan modal kerja serta tempoh pembayaran yang munasabah.
Norsyahrin turut menegaskan kepentingan perancangan ekonomi khusus bagi setiap bandar, kemudahan pengangkutan pengantara dan pembangunan kemahiran penduduk supaya usahawan tempatan mendapat peluang yang adil untuk menyertai rantaian bekalan baharu.









