ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

MalaysiaTerkini

Hampir Sedekad Menanti, F1 Kembali Gegarkan Sepang. Tapi Kali Ini Bukan GP Malaysia.

KUALA LUMPUR – Selepas hampir 1 dekad, bunyi enjin Formula 1 (F1) bakal kembali bergema di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini!

Namun, kepulangan F1 ke Malaysia kali ini hadir dalam bentuk yang berbeza. Sepang bukan menjadi tuan rumah GP Malaysia, sebaliknya dipilih sebagai lokasi sementara bagi Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026.

Penganjuran itu susulan persetujuan antara Formula 1, FIA serta kerajaan Malaysia dan Bahrain selepas GP Bahrain yang asalnya dijadualkan pada awal musim terpaksa dibatalkan susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Kehadiran peminat juga menunjukkan sambutan yang tinggi. Kira-kira 95,000 tiket telah terjual dan SIC menyasarkan jumlah itu mencecah 100,000 sepanjang acara tiga hari berkenaan.

Cabaran di Sepang pula bukanlah kecil. Litar sepanjang 5.543 kilometer itu terkenal dengan laluan lurus yang panjang, selekoh pantas dan keadaan cuaca yang sukar dijangka. Jabatan Meteorologi Malaysia turut meramalkan hujan pada Ahad, selain keadaan jerebu yang ketika ini menjadi antara perkara yang dipantau.

Bagi barisan pelumba, hanya 10 daripada pelumba semasa pernah beraksi di Sepang. Antaranya bekas juara di litar itu seperti Fernando Alonso, Lewis Hamilton dan Max Verstappen.

Pada masa sama, peminat bakal menyaksikan kemunculan beberapa pelumba generasi baharu di Sepang, termasuk pendahulu kejuaraan ketika ini, Kimi Antonelli daripada Mercedes.

Selepas sembilan tahun, Sepang akhirnya kembali menjadi pentas F1. Bezanya kali ini, Malaysia bukan sekadar menjadi lokasi perlumbaan, tetapi turut menjadi tuan rumah sementara kepada GP Bahrain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *