RM100,000 pada usia 55, cukupkah untuk persaraan?
KUALA LUMPUR – Berapa banyak simpanan yang sepatutnya ada sebelum seseorang memasuki usia persaraan?
Seorang penyelidik mencadangkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai sekurang-kurangnya RM100,000 pada usia 55 tahun sebagai satu pendekatan untuk menyediakan pendapatan selepas bersara.
Pegawai Penyelidik Kanan di Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia (UPM), Chai Sen Tyng berkata jumlah itu boleh dikumpulkan sebagai satu dana dan dilaburkan sehingga pencarum mencapai usia 60 tahun.
Daripada jumlah tersebut, bayaran bulanan boleh dimulakan pada sekitar RM780, sebelum kadar pembayaran dinaikkan antara dua hingga tiga peratus setiap tahun bagi mengambil kira inflasi dan peningkatan kos sara hidup.
Menurut Chai, jumlah bayaran itu berpotensi melebihi RM1,000 sebulan apabila pencarum mencapai usia 65 atau 70 tahun.
Beliau berkata pendekatan simpanan RM100,000 itu berpotensi menampung keperluan seseorang antara 18 hingga 20 tahun selepas persaraan, selain menyediakan kesinambungan kewangan.
Cadangan tersebut mempunyai persamaan dengan konsep CPF LIFE di Singapura, yang membolehkan rakyatnya mengeluarkan simpanan pada usia 55 tahun tetapi perlu mengekalkan baki minimum S$60,000. Apabila mencapai usia persaraan 64 tahun, bayaran sebanyak S$570 sebulan diberikan dan dijamin kerajaan sehingga akhir hayat.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia menyasarkan enam daripada setiap 10 ahli KWSP mencapai penanda aras Simpanan Asas sebanyak RM390,000 pada usia 60 tahun menjelang 2030.
Ketika ini, hampir empat daripada 10 ahli KWSP berada di landasan untuk mencapai penanda aras tersebut. Anwar turut memberi peringatan bahawa masih ramai rakyat berdepan risiko kehabisan simpanan sepanjang tempoh persaraan yang boleh mencecah 20 hingga 25 tahun.
Sumber : BERNAMA
