ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

Malaysia

Fahmi Fadzil: Jemaah Menteri kekal komited, fokus berkhidmat hingga tamat penggal

KUALA LUMPUR – Perbezaan pendirian dalam beberapa isu politik tidak dilihat menjejaskan kerjasama dalam Kerajaan MADANI, dengan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan Jemaah Menteri akan terus menjalankan tanggungjawab sehingga tamat penggal pentadbiran.

Menurut Fahmi, semua parti komponen kerajaan kekal profesional dan menunjukkan komitmen untuk mempertahankan kestabilan politik negara.

Beliau berkata perkara itu penting kerana kestabilan politik dan dasar kerajaan antara perkara yang menjadi perhatian pelabur ketika mempertimbangkan kemasukan ke sesebuah negara.

Fahmi turut menyentuh isu pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menurutnya tidak menjejaskan hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata pendirian PH dalam isu berkenaan dibuat berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang negara, selain menegaskan ia bukan didorong oleh dendam atau sentimen peribadi terhadap Najib.

Dalam pada itu, Fahmi tidak menolak kemungkinan PH dan BN bekerjasama selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 sekiranya berlaku situasi Parlimen tergantung.

Katanya, jika keadaan itu berlaku dan terdapat titah Yang di-Pertuan Agong bagi mengelakkan ketidakstabilan, perbezaan antara parti perlu diketepikan untuk membentuk kerajaan demi kestabilan, kemajuan dan keselamatan negara.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pula, Fahmi berkata kerjasama dengan BN merupakan salah satu pilihan, termasuk kemungkinan persefahaman politik secara terhad atau bersyarat. Pilihan lain adalah PH bertanding secara solo.

Beliau turut mengingatkan bahawa dinamik politik berbeza mengikut negeri dan keputusan dalam satu pilihan raya tidak semestinya menggambarkan keadaan pada pilihan raya yang lain.

Fahmi berkata demikian ketika menjadi tetamu program audio siar The Tiger Show yang dikendalikan wartawan Amin Iskandar pada 24 September.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *