Najib mohon tangguh hukuman 15 tahun, denda RM11.38 bilion dalam kes 1MDB
KUALA LUMPUR – Selepas kira-kira sembilan bulan keputusan kes 1MDB diputuskan Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Najib Razak kini memohon supaya pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion terhadapnya ditangguhkan.
Permohonan itu dijadual didengar di Mahkamah Tinggi hari ini di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin.
Hukuman berkenaan dijatuhkan selepas Najib disabitkan atas 25 pertuduhan berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi memperoleh kira-kira RM2.3 bilion.
Dalam keputusan pada 26 Disember 2025, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun yang akan bermula selepas beliau selesai menjalani hukuman dalam kes SRC International.
Selain hukuman penjara, Najib turut dikenakan denda RM11.38 bilion bagi empat pertuduhan salah guna kedudukan itu.
Mahkamah sebelum ini turut menetapkan hukuman penjara tambahan 10 tahun bagi setiap pertuduhan sekiranya denda tersebut gagal dibayar.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah dana sama, Najib pula dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan tanpa denda.
Permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman 1MDB ini dibuat ketika Najib masih menjalani hukuman bagi kes SRC International.
Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman SRC secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat yang ditetapkan.
Bagaimanapun, perkembangan mengenai tahanan rumah itu tidak mengubah status hukuman 15 tahun dalam kes 1MDB. Najib masih mempunyai rayuan terhadap sabitan dan hukuman berkenaan.
Permohonan yang didengar hari ini adalah untuk mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut sementara proses rayuan diteruskan.
Sumber : MalaysiaGazette
