ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

Malaysia

AI Mesti Ditadbir, Perdagangan Digital Perlu Terbuka – Anwar

HANGZHOU – Pembangunan kecerdasan buatan (AI) perlu berteraskan etika bagi memastikan kemajuan teknologi memberi manfaat kepada manusia dan tidak memperluas jurang sosioekonomi antara negara maju dengan negara membangun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkembangan pesat AI tidak seharusnya hanya tertumpu kepada peningkatan produktiviti dan daya saing industri, sebaliknya turut memastikan rakyat mendapat manfaat daripada perubahan teknologi.

“Adakah kita dalam mengejar kemajuan teknologi pada masa sama membiarkan ketidaksamaan sosioekonomi terus membelenggu dunia. Ini satu persoalan asas yang perlu kita beri perhatian.

“Prinsipnya tetap sama, sama ada kita mentadbir AI atau AI yang akan mentadbir kita,” katanya dalam ucaptama pada majlis pembukaan Ekspo Perdagangan Digital Global Kelima (GDTE) yang dirasmikan Perdana Menteri China Li Qiang, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Duta Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata objektif Malaysia dalam pembangunan AI adalah jelas, antaranya meningkatkan produktiviti, membantu perusahaan kecil bersaing serta menggerakkan industri ke arah aktiviti bernilai lebih tinggi.

Bagaimanapun, katanya, persoalan lebih penting ialah tujuan pembangunan teknologi berkenaan dan manfaatnya kepada manusia, khususnya negara membangun.

“China, Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah kini berada di barisan hadapan pembangunan AI, namun kemajuan teknologi perlu dilihat dalam konteks lebih luas termasuk kesannya terhadap negara membangun.

“Apakah tujuan sebenar kemajuan itu kepada manusia jika perkembangan berkenaan hanya menyebabkan jurang antara negara kaya dengan negara membangun serta ekonomi maju dengan ekonomi sedang membangun semakin melebar,” katanya.

Beliau berkata teknologi seharusnya memberi negara membangun ruang lebih besar untuk menentukan masa depan sendiri dan bukan menyebabkan mereka terus bergantung kepada teknologi yang dibangunkan di negara lain.

Anwar turut merujuk pendirian Presiden China, Xi Jinping mengenai kepentingan tadbir urus, tanggungjawab dan aspek kemanusiaan dalam pembangunan AI, termasuk keperluan memberi perhatian kepada persoalan etika.

Katanya pendekatan berteraskan etika penting bagi memastikan inovasi dan kemajuan teknologi pada akhirnya digunakan untuk kepentingan manusia.

“Prinsip panduan ini bermaksud inovasi dan kemajuan teknologi pada akhirnya mesti berkhidmat kepada manusia,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia komited memajukan AI dan akan terus mempelajari serta berkongsi penggunaan teknologi berkenaan dalam pelbagai bidang termasuk pembuatan, penjagaan kesihatan, pertanian, logistik dan pendidikan.

Beliau berkata etika dan tadbir urus perlu kekal sebagai asas pembangunan AI bagi memastikan kemajuan teknologi tidak mengorbankan kepentingan manusia.

Anwar turut menggesa sistem perdagangan digital dunia kekal terbuka dan berasaskan peraturan supaya negara membangun, khususnya negara Global South, turut mendapat manfaat daripada kemajuan teknologi.

Katanya kerajaan sememangnya perlu melindungi rakyat dan kepentingan strategik masing-masing, terutama ketika dunia berdepan ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi, namun langkah berkenaan tidak seharusnya mewujudkan halangan yang memperburuk ketidaksamaan.

“Kita memerlukan garis panduan apabila risikonya benar-benar wujud, tetapi ia tidak seharusnya menjadi tembok yang tidak boleh ditembusi,” katanya.

Anwar berkata digitalisasi dan AI sepatutnya membantu mengurangkan ketidaksamaan serta memperluas peluang perdagangan, bukannya memburukkan lagi ketidakadilan yang telah lama dihadapi negara membangun.

Beliau berkata Malaysia tidak mengambil pendirian menyebelahi mana-mana pihak dalam persaingan kuasa besar, sebaliknya mahu negara kecil dan membangun mempunyai ruang menyatakan pendirian mengenai perkara yang adil dan saksama.

“Kita datang daripada negara kecil yang berjuang untuk terus bertahan, tetapi kita mesti mempunyai keberanian dan keyakinan untuk menyatakan pendirian mengenai apa yang betul, bermoral, adil dan saksama, khususnya memperjuangkan kepentingan Global South,” katanya.

Beliau turut menghargai peranan China dalam berkongsi kemajuan teknologi dengan negara Global South, termasuk melalui kerjasama syarikat teknologi China yang membantu proses transformasi digital Malaysia.

Anwar berkata pengalaman China menunjukkan globalisasi tidak seharusnya berasaskan penguasaan atau sikap merendahkan negara lain, sebaliknya berpaksikan perkongsian perdagangan, kemakmuran serta penghormatan terhadap budaya, agama dan masyarakat.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia akan terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab perdagangan digital serantau selain membuka ekonomi kepada pelaburan dan perkongsian digital.

Katanya Malaysia mempunyai kelebihan termasuk tenaga kerja berdisiplin, tenaga mahir pelbagai bahasa, ekonomi berasaskan peraturan serta kedudukan strategik untuk mencapai pasaran Asia dan luar rantau.

“Pendedahan kepada teknologi baharu juga perlu diperluas kepada generasi muda, termasuk menerusi penyertaan Malaysia dalam WorldSkills Shanghai 2026 yang menghimpunkan kira-kira 1,400 peserta muda dari seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata penganjuran WorldSkills dan GDTE memperlihatkan kesediaan China berkongsi kemajuan teknologi dengan negara lain.

“Ekonomi digital yang lebih kukuh ialah membolehkan lebih banyak negara mengambil bahagian, lebih banyak perniagaan bersaing dan lebih ramai rakyat menikmati kemakmuran,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *